Chef selebriti terkenal tanah air, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra disapa Chef Wan, baru-baru ini meluahkan rasa bangga dan teruja apabila cucunya, Isabella Saffiya kini bergelar pemain bola sepak yang mewakili skuad wanita negara.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Chef Wan mengakui beliau sendiri pada mulanya tidak begitu mengetahui perkembangan berkenaan memandangkan beliau bukannya seorang peminat tegar sukan bola sepak.
Artikel berkaitan: Muat Naik Posting Berunsur Fitnah, Chef Wan Diarah Bayar RM150K Kepada Bekas Menantu
Artikel berkaitan: Tular Di TikTok Restoran Chef Wan Potong Gaji Pekerja & Tak Bayar OT, Chef Wan Nafi Aniaya Pekerja
Terkejut Terima Gambar Daripada Anak
Menurut Chef Wan, beliau hanya mengetahui berita gembira tersebut selepas anaknya, Serina Redzuawan, serta bekas menantunya menghantar mesej serta perkongsian media berhubung penglibatan Isabella dalam skuad kebangsaan.
View this post on Instagram
“Sebagai seorang yang bukan peminat bola sepak, saya memang tahu sangat sedikit tentang permainan ini. Apabila Rina (Serina) hantar mesej dan perkongsian media kepada saya, baru lah saya tahu,” tulisnya.
Lebih membanggakan, Chef Wan turut berkongsi kejayaan skuad yang dianggotai cucunya itu selepas berjaya mencatatkan keputusan cemerlang menewaskan pasukan Arab Saudi dengan jaringan besar 9-0 dalam satu perlawanan di Indonesia.
Netizen Turut Bangga
Di ruangan komen, rata-rata pengikut serta netizen turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Chef Wan dan keluarga atas kejayaan Isabella membawa nama Malaysia di arena antarabangsa.
Ramai yang memuji bakat serta semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh anak muda berkenaan dan mendoakan agar beliau terus cemerlang bersama skuad negara.

Untuk rekod, Isabella Saffiya merupakan anak hasil perkahwinan Serina Redzuawan bersama bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh (Salahuddin Ghaffar).
