Penduduk yang berada di kawasan rendah, sering terjadi banjir serta berdekatan dengan sungai dinasihatkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya sentiasa peka dan bersiap sedia mengalami fasa peralihan monsoon yang dijangka berterusan sehingga awal November.
Menurut ketua pengarah jabatan berkenaan, Datuk Nor Hisham Ghazali mengeluarkan kenyataan tersebut selaras dengan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Difahamkan, dalam laporan berkenaan, Malaysia dijangka menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah terutama bagi kejadian ribut petir yang biasanya turut membawa hujan lebat dan angin kencang dalam masa yang singkat.
“Hujan lebat ekstrem ini boleh menyebabkan banjir kerana sungai tidak dapat menampung kapasiti sebegitu dalam tempoh yang singkat dan akan melimpah”
Selain itu, menurut Datuk Nor Hisham lagi, limpahan air sungai ini sudah pasti bakal menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir, terutamanya mereka yang berada di kawasan rendah.
Dalam masa yang sama, orang awam diminta agar tidak membuang sampah merata-rata selain harus menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang. Sekiranya ini berlaku, sudah tentu akan lebih memburukkan keadaan dan menyebabkan banjir.
Difahamkan, pihak JPS telah menjalankan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai salah satu inisiatif selain turut menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), Pelan Induk Tebatan Banjir dan juga Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) sebagai langkah persediaan bagi menghadapi banjir.
Mana-mana pihak yang terlibat tu diminta buat persediaan sepatutnya lah, lebih-lebih lagi ketika kita masih dalam pandemik ni.