Kerajaan Malaysia menyuarakan kebimbangan serius berhubung situasi jerebu yang semakin memburuk dan kini berada pada tahap membimbangkan di seluruh negara.
Bagi menangani krisis berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengesahkan beliau telah berhubung secara terus dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi mengambil langkah segera dan bersepadu.
Menurut Anwar, pemimpin negara jiran itu memberikan maklum balas positif dan bersetuju untuk bekerjasama bagi melaksanakan tindakan yang diperlukan demi meredakan keadaan.
Artikel berkaitan: “Buka mata lebar-lebar!” – Kalimantan Masih Dibelenggu Jerebu & Kebakaran Hutan, Penduduk Terpaksa Hidup Dalam Asap
Artikel berkaitan: Walaupun Berbeza Aliran Politik, PMX Dipuji Tinggalkan Komen di Posting Wan Ahmad Fayhsal
“Berkaitan jerebu, ia memang berada pada tahap membimbangkan. Saya sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo dan beliau juga bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu.
Pada masa sama, Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Datuk Seri Arthur Joseph Kurup) juga menghubungi rakan sejawat mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah bersedia sejak beberapa minggu lalu untuk memberikan kerjasama penuh susulan kualiti udara yang merosot kini memberi kesan langsung terhadap kesihatan rakyat.
Dalam pada itu, usaha tempatan terus dipergiat menerusi Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan hampir saban hari oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama agensi berkaitan. Walau bagaimanapun, beliau mengakui keadaan semasa masih merunsingkan.
Bagi mengukuhkan tindakan di peringkat regional, Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Luar untuk berhubung dengan Sekretariat ASEAN bagi menggesa penganjuran mesyuarat khas membabitkan menteri-menteri alam sekitar negara anggota.
Keadaan jerebu di dalam negara dilihat terus merosot susulan insiden kebakaran hutan dan tanah yang masih berterusan di Indonesia.
Setakat jam 1 tengah hari tadi, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Segamat di Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 189, diikuti Seremban (185), Nilai (184), Kluang (181), Johan Setia (179), dan Rompin (177). Kawasan lain yang turut mencatatkan paras IPU membimbangkan termasuk Larkin dan Pasir Gudang (masing-masing 175) serta Cheras (174).
Sumber: Buletin TV3
