Isu keganasan rumah tangga ni memang bukannya perkara main-main. Kadang-kadang, ramai yang terpaksa merana dalam diam sebab takut atau tak tahu nak minta bantuan dekat siapa.
Memahami situasi kritikal ini,Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan empat pendekatan utama bagi menangani isu keganasan rumah tangga di negara kita.
Menurut Timbalan Menteri KPWKM, Lim Hui Ying, empat pendekatan berkenaan merangkumi pencegahan, perlindungan, intervensi, dan pemulihan.
Kenapa 4 Pendekatan Ni Sangat Penting Sangat?
Beliau menjelaskan bahawa setiap fasa penekanan ini ada peranan penting untuk memastikan mangsa dilindungi dari awal hingga selepas mereka keluar daripada persekitaran yang toksik.
“Untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, program yang kita tekankan ialah pencegahan. Selepas itu, bila sudah berlaku, melindungi. Kita mesti ada intervensi dan lagi satu yang amat penting adalah pemulihan.”
Jelas beliau lagi, aspek pemulihan amat kritikal supaya mangsa bukan sahaja selamat secara fizikal, tetapi juga disokong dari segi emosi dan kewangan untuk membina semula kehidupan serta kembali berdikari.
Tahu Tak Ada 3 Jenis Perintah Perlindungan Undang-Undang?
Ramai ingat nak dapatkan perlindungan polis atau mahkamah ini rumit dan makan masa, tetapi sebenarnya, ada tiga bentuk Perintah Perlindungan yang mangsa perlu.
Terdapat tiga bentuk perintah perlindungan undang-undang yang dikongsikan sendiri oleh Lim Hui Ying untuk melindungi mangsa iaitu Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO).
“Perlindungan terhadap mangsa merangkumi tiga bentuk perintah perlindungan undang-undang, iaitu Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa memerlukan laporan polis, Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) yang dikeluarkan mahkamah dengan laporan polis diperlukan.”
Masalah Keluarga Boleh Bincang, Bukan Dengan Keganasan!
Lim Hui Ying turut memberi peringatan bahawa keganasan langsung bukan cara untuk selesaikan sebarang konflik atau masalah rumah tangga, sebaliknya, sebarang perselisihan faham hendaklah ditangani melalui komunikasi yang sihat, saling menghormati, dan perbincangan secara terbuka.
Jika keselamatan diri atau anak-anak sudah mula terancam, mangsa diminta supaya tidak berdiam diri dan terus mencari bantuan.
“Jangan Jaga Tepi Kain Orang?” – Hapus Stigma Ni!
Satu lagi mesej penting yang ditegaskan ialah peranan masyarakat sekeliling seperti jiran tetangga dan ahli keluarga.
Masih ramai yang takut nak ambil tahu sebab anggap isu ini urusan peribadi keluarga orang lain. Namun, KPWKM mengingatkan bahawa keganasan rumah tangga adalah satu jenayah.
“Jiran, ahli keluarga, mesti ada konsep atau persepsi yang ini bukanlah masuk campur (urusan) keluarga orang lain. Keganasan rumah tangga adalah satu jenayah. Jadi, kita boleh buat laporan.”
Di Mana Nak Dapatkan Bantuan?
Sekiranya korang atau sesiapa yang korang kenal berdepan dengan situasi keganasan rumah tangga, jangan teragak-agak untuk hubungi Talian Kasih di 15999.
Talian ini beroperasi 24 jam sehari untuk memberikan nasihat, khidmat kaunseling psikososial, serta rujukan aduan terus kepada pihak JKM.
Sama-sama kita jadi masyarakat yang prihatin dan hulurkan bantuan sebelum terlambat!
Sumber: Bernama
