Baru-baru ini, Telegram dilaporkan tidak mahu memberikan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengenai isu berkaitan kandungan dan salah guna aplikasi itu.
Alasan yang diberikan adalah kerana enggan terlibat dengan “sebarang penapisan yang bersifat politik”.
“Telegram tidak akan, dalam apa cara sekali pun, mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan politik,” kata jurucakap Telegram, Remi Vaughn.
Namun pihaknya mendakwa bahawa aplikasi itu secara aktif mengawal kandungan berbahaya pada platformnya termasuk penjualan bahan haram dan pornografi, sejak dilancarkan.
Ini antara jenayah yg berlaku secara berleluasa dalam platform pemesejan tersebut, namun hingga ke hari ini pengendali enggan beri kerjasama kepada @MCMC_RASMI https://t.co/5uvo1bNibN
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) June 3, 2023
SKMM pertimbang sekat Telegram
Terkini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dilaporkan sedang giat mempertimbangkan beberapa bentuk tindakan termasuk mengenakan sekatan terhadap aplikasi Telegram, lapor Kosmo!
Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, ini disebabkan aktiviti jenayah siber yang dilakukan melalui aplikasi Telegram berada di kedudukan lima teratas sekali gus menunjukkan peningkatan yang drastik daripada tempat ke-11 bagi tahun 2019 hingga 2020.
SKMM merasakan tindakan menyekat platform tersebut bukan sahaja penting untuk melindungi pengguna platform, tetapi juga untuk menjamin kedaulatan negara.
Setakat ini, tiada saluran atau pihak rasmi daripada Telegram untuk dihubungi berkenaan isu berbangkit atau membuat susulan lanjut berkenaan sebarang aduan yang diterima.
Ciri keselamatan bagi aspek pengguna iaitu end-to-end encryption telah menjadikan pilihan bagi penjenayah siber untuk beralih daripada dark web kepada laman Telegram.
Malah, Telegram turut memiliki ciri unik di mana pengguna boleh menjana bot atau robot dikenali sebagai Telegram bot yang mampu melancarkan serangan siber secara automatik.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta KKD mengambil tindakan segera terhadap Telegram yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkait isu keselamatan siber, termasuk penipuan dalam talian.
Walaupun gesaan telah dibuat oleh pihak kerajaan, pengendali Telegram masih tidak memberikan sebarang kerjasama kepada pihak SKMM.