in

Isu Pemansuhan Pencen Bagi Penjawat Awam Baharu Juga Terpakai Kepada Ahli Politik – PM

Politik Pencen

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa penjawat awam baharu yang berstatus tetap tidak lagi menerima pencen sebaliknya mencarum KWSP dan Perkeso.

Katanya, langkah itu bagi meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengurangkan bayaran pencen yang dijangka mencecah RM120 bilion pada 2040 tanpa sebarang perubahan kepada sistem.


Perkara itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai, yang mana ada pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaan terbabit jika tidak melibatkan golongan menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen dan seangkatan dengannya.

Artikel berkaitan: Antara Kerja Kerajaan & Swasta, Mana Satu Yang Menjadi Pilihan Anda?

Dalam perkembangan baharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebarang kajian membabitkan skim pencen dalam kalangan penjawat awam juga terpakai untuk ahli-ahli politik termasuk wakil rakyat.

Menerusi petikan video yang dimuat naik Astro Awani, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut ekoran beban kewangan dihadapi kerajaan untuk menampung tanggungan pencen pada setakat ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri sebaik sahaja mendengar pandangan pelbagai pihak dan kajian mendalam melibatkan daripada sudut Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi ada orang kata mengapa tidak melibatkan ahli politik. Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, Menteri, Timbalan Perdana Menteri.

“Itu dalam dalam Perlembagaan, itu kita boleh kaji, itu tidak boleh kebelakangkan, itu retrospektif, untuk baharu kita boleh kaji.

“Secara prinsip saya bersetuju apa jua keputusan untuk terpakai juga untuk lantikan politik, tapi dimuktamadkan selepas kajian dibawa dan Jemaah Menteri memutuskan,” katanya.

Difahamkan, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baharu akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.