Kini sedang hangat diperkatakan di media sosial mengenai satu insiden menyayat hati melibatkan pengurusan jenazah yang didakwa telah dipersulitkan.
Insiden ini menyebabkan urusan pengebumian seorang jenazah kanak-kanak perempuan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang tertangguh lebih satu jam 20 minit.
Dakwaan awal mengatakan kejadian itu berpunca gara-gara pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan, Ampang dipercayai menuntut bayaran RM1,400 bagi urusan pengendalian jenazah.
Kelewatan berkenaan berlaku selepas permit pengebumian yang sepatutnya diserahkan kepada waris didakwa ditahan oleh pihak pengurusan masjid susulan keluarga enggan menjelaskan bayaran berkenaan.
Namun, dakwaan itu telah dinafikan pihak Jabatan Agama Islam (JAIS) dan mendakwa ia berpunca daripada kekeliruan pihak waris.
Apa sebenarnya yang berlaku? Berikut merupakan rentetan kes ini:
Jenazah yang merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, yang disahkan meninggal dunia pada 25 Jun ialah kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun. Menurut laporan, Siti Adawiyah Muhammad meninggal dunia kerana kebocoran usus.
Menurut JAIS, pihak waris berurusan dengan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) untuk mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang diselia oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Dalam kenyataan JAIS, pihaknya mengatakan waris bertemu pembantu pengurus masjid untuk mendapatkan borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.
Bapa Allahyarham dikatakan bersetuju agar pihak masjid mengambil alih urusan pengebumian daripada BKS. Kemudian, pihak masjid mengeluarkan borang permohonan tersebut sejurus menerima dokumen Daftar Kematian yang asal.
Bagaimanapun, situasi menjadi rumit apabila datuk Allahyarham berkeras mahu urusan pengebumian dikendalikan oleh BKS.
Bagi mengelakkan sebarang kekecohan di lokasi pengurusan, pihak masjid telah meminta bantuan pihak polis untuk menemani mereka ke Surau An-Nur, Taman Cempaka.
Pihak masjid memaklumkan jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan Islam oleh BKS dalam keadaan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian si mati masih berada dalam pegangan pihak masjid.
Dikatakan tindakan waris membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa dokumen sah menyebabkan urusan pengebumian tersangkut di liang lahad.
Proses tersebut hanya dapat diselesaikan selepas pihak masjid dihubungi oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana dan bergegas menghantar dokumen yang sah ke sana.
JAIS juga mendakwa dokumen permohonan pengebumian yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur sebelum itu adalah palsu.
JAIS turut menafikan pihak masjid terbabit menuntut bayaran sebanyak RM1,400 daripada waris bagi membolehkan jenazah diuruskan.
Ekoran pemalsuan dokumen berkenaan, satu laporan polis telah dibuat pada 26 Jun 2026.
Artikel berkaitan: JAWI Diarah Siasat Kes Jenazah Wanita Didakwa Ditahan Di Surau Hampir 24 Jam
Artikel berkaitan: Kes Jenazah Bayi Dibekukan 2 Minggu, Kerajaan Selangor Kecam Tindakan Hospital Swasta
Bapa nafi palsukan borang pengebumian anak
Bagaimanapun, bapa Allahyarham, Muhammad Hasrul Ghazali, 41, menafikan dakwaan menggunakan borang pengebumian palsu seperti yang dilaporkan JAIS, sebaliknya menyatakan dia hanya membawa dokumen asal yang diterima daripada hospital iaitu salinan berwarna putih dan kuning, manakala salinan berwarna biru diserahkan kepada pihak masjid bagi mendapatkan kebenaran pengebumian.
Dalam pada itu, Muhammad Hasrul mempersoalkan mengenai pemalsuan borang yang dikaitkan dengan dirinya memandangkan dia telah mengisi borang permohonan pengebumian daripada pihak masjid untuk pelepasan permit kubur.
Mengulas isu bayaran RM1,400, Muhammad Hasrul berkata, dia dimaklumkan pihak masjid akan mengenakan bil kepada waris sebelum bayaran tersebut boleh dituntut semula daripada BKS.

Sementara itu, datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan kenyataan JAIS yang mendakwa beliau berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya.
Menurutnya, sepanjang proses memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah dijalankan di surau, tiada wakil masjid mahupun individu lain hadir menawarkan bantuan bagi menguruskan jenazah berkenaan.
Polis terima 7 laporan, MAIS arahkan pertemuan pihak yang terbabit
Ekoran kontroversi kelewatan pengebumian jenazah, polis mengesahkan pihaknya telah menerima tujuh laporan berkaitan isu tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan pertemuan segera antara waris, pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah, BKS dan JAIS bagi menyelesaikan isu ini.
Sumber: Kosmo!, Facebook, MAIS, Astro Awani
