in

“Sebab waris tiada wang” – UKVJ Dedah Ada Jenazah Dibiar 7 Jam Hingga Dihurung Semut

Jenazah Dihurung Semut

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isu kelewatan pengurusan jenazah yang berlaku baru-baru ini mecetuskan kebimbangan masyarakat Muslim di sini.

Memetik laporan Kosmo!, ada jenazah yang hanya ditutup menggunakan kain batik sementara menunggu bayaran diselesaikan, malah terdapat kes apabila jenazah dihurung semut sebelum sempat diuruskan dengan sempurna.


Perkara itu didedahkan Pengerusi dan Pengasas Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai yang mendakwa pihaknya pernah mengendalikan sekurang-kurangnya 10 kes seumpama itu di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, kebanyakan kes membabitkan golongan miskin bandar yang berdepan kesukaran menyediakan wang bagi menampung kos pengurusan jenazah.

“Memang ada kes jenazah dibiarkan begitu lama. Dalam beberapa kes, ada yang terbiar selama tujuh jam.

“Ini kerana ada segelintir pengurusan kariah didakwa tidak mahu menguruskan jenazah itu sebab waris tiada wang,” katanya.

AJK yang hadir bantu berundur bila waris maklum tak mampu bayar 

Wan Cai turut berkongsi pengalaman mengendalikan satu kes kira-kira tujuh tahun lalu melibatkan seorang lelaki yang meninggal dunia di sebuah rumah sewa di Shah Alam.

Katanya, ketika itu waris tidak mampu menyediakan kos pengurusan jenazah yang berjumlah RM3,050, meliputi RM1,550 bagi urusan mandi dan kafan serta RM1,500 lagi untuk membawa jenazah pulang ke Pulau Pinang.

Menurut Wan Cai, arwah meninggal dunia sekitar tengah hari sebelum rakan serumahnya berusaha mendapatkan bantuan daripada surau berhampiran.

“Seorang AJK pengurusan jenazah pada awalnya hadir membantu, tapi berundur selepas waris memaklumkan tidak mampu membayar.

“Waris ketika itu anak arwah yang berada dalam kesempitan hidup. Dia hanya mampu berhubung melalui telefon dan tidak dapat datang ke Shah Alam.

“Apabila tidak mampu membayar, AJK itu hanya meluruskan badan jenazah, menutup dengan kain batik dan beredar,” ujarnya.

Lebih memilukan, kelewatan mendapatkan bantuan menyebabkan keadaan jenazah berada dalam keadaan menyayat hati.

“Apabila kami sampai, jenazah sudah dihurung semut. Itu yang paling menyedihkan,” katanya.

Pix Muka Depan Jenazah 2

Artikel berkaitan: Isu Jenazah Lewat Dikebumikan Cetus Pertikaian Antara Waris & Pihak Masjid, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Artikel berkaitan: JAWI Diarah Siasat Kes Jenazah Wanita Didakwa Ditahan Di Surau Hampir 24 Jam

Dalam pada itu, Wan Cai berkata, terdapat kekeliruan terhadap prosedur pengurusan jenazah di beberapa kawasan apabila waris perlu mendapatkan kebenaran pihak masjid serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum urusan pengebumian boleh dijalankan.

Keadaan itu menyebabkan waris terperangkap dengan pelbagai prosedur selain dibebani kos pengurusan sehingga akhirnya urusan pengebumian tertangguh.

“Isunya bukan sekadar prosedur, tetapi juga soal belas ihsan. Mustahil tiada peruntukan khas disediakan bagi kes-kes mendesak sebegini,” ujarnya.

Dedahnya lagi, ada beberapa kawasan seperti di Ampang menetapkan garis panduan yang ketat yang perlu melibatkan kebenaran masjid serta PBT.

Malah, katanya, ada urusan pengebumian yang hanya dibenarkan menggunakan khidmat pengurusan masjid dan bukan NGO.

“Fungsi khairat kematian juga sering disalah faham. Ia hanya meliputi kawasan kariah tertentu dan tidak semestinya boleh digunakan orang di luar kawasan atau negeri lain.

“Kalau seseorang meninggal di luar kawasan, khairat tidak akan menampung sepenuhnya. Sebab itu NGO memainkan peranan penting,” katanya.

Namun begitu, katanya, ada juga situasi apabila pihak kariah tidak mahu bekerjasama dengan NGO kerana isu bayaran.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.