Sebentar tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 MADANI.
Menerusi pembentangan tersebut, kerajaan telah mengumumkan beberapa senarai cadangan pelepasan cukai antaranya seperti berikut:
1. Pelepasan khas cukai RM1,000 buat rakyat melancong dalam negara
Kerajaan memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelepasan tersebut merangkumi perbelanjaan bagi bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan serta program kebudayaan yang diiktiraf kerajaan.
2. Rebat RM20 juta, pelepasan cukai RM2,500 dorong gaya hidup lestari
Bagi memperkukuh agenda gaya hidup lestari, kerajaan akan meneruskan pemberian rebat bagi pembelian kelengkapan cekap tenaga kepada pengguna dan peniaga, melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM2,500 diperluas untuk merangkumi pembelian mesin rincih sisa makanan bagi menggalakkan gaya hidup lestari.
3. Pelepasan cukai RM3,000 belanja yuran taska, tadika
Kerajaan akan memberikan pelepasan cukai pendapatan individu RM3,000 ke atas perbelanjaan yuran taman asuhan (taska) atau taman didikan kanak-kanak (tadika) yang berumur sehingga enam tahun.
Pengecualian cukai itu turut diperluas kepada pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak yang berumur sehingga 12 tahun berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026.
4. Pelepasan cukai anak OKU bawah 18 tahun dinaikkan RM10,000
Kerajaan turut bercadang pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, program intervensi awal serta rawatan pemulihan berterusan bagi anak OKU berumur 18 tahun ke bawah dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM6,000.
5. Bayaran premium insurans dan sumbangan takaful
Bagi menggalakkan caruman perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan rakyat, kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 yang diberikan ke atas bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful nyawa untuk diri dan pasangan, diperluas bagi meliputi anak.
Sumber: MOF