Tahun 2023 hampir melabuhkan tirai, rasa macam sekejap je masa berlalu kan? Tapi, dalam masa setahun ni macam-macam telah berlaku. Seperti biasa, setiap tahun pasti ada jenayah-jenayah yang dahsyat dan disturbing akan berlaku di serata dunia.
Tahun ini juga tak kurang bezanya, bukan sahaja jenayah yang berlaku di luar negara yang telah mengejutkan ramai orang, jenayah yang berlaku di Malaysia pada tahun ni pun ada yang sangat disturbing sampai kita tak boleh nak lupa ia pernah terjadi walaupun dah berlaku beberapa bulan yang lepas.
Dekat bawah ni, kami akan senaraikan beberapa jenayah paling disturbing pernah berlaku sama ada dekat luar negara mahu pun di dalam negara sepanjang 2023 ni.
1. Pempengaruh Instagram bunuh ‘pelanduk dua serupa’ untuk palsukan kematiannya
Pada Februari 2023 yang lalu, seorang pempengaruh kecantikan berketurunan Jerman-Iraq yang dikenali sebagai Shahraban K. telah dituduh membunuh seorang blogger kecantikan, Khadidja O. dengan alasan mahu memalsukan kematiannya dengan membunuh seseorang yang mempunyai rupa yang sama dengannya.
Digelar sebagai “Pembunuhan Pelanduk Dua Serupa” oleh media Jerman, insiden mengerikan ini terbongkar apabila pihak polis menemui mayat mangsa di dalam kereta Mercedes milik Shahraban. Khadidja telah ditikam lebih 50 kali sehingga wajahnya sukar untuk dikenali.
Shahraban dikatakan melakukan pembunuhan ini bagi melarikan diri dari masalah yang dihadapinya di rumah dan telah mencuba untuk “memancing” seramai lima orang wanita lain. Dia juga dikatakan telah meminta rakannya Sheqir K. untuk membantunya.
2. Lelaki bunuh & bakar kekasih sebab nak rahsiakan kehamilan
Pada Mei lalu, penduduk di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar dikejutkan dengan penemuan mayat terbakar di tepi kebun kelapa selepas ternampak kepulan asap ketika melalui kawasan tersebut.
Selepas siasatan awal dijalankan, pihak polis mendapati mayat tersebut merupakan seorang wanita hamil berusia 21 tahun yang bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran berhampiran.
Hasil soal siasat mendapati, seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga merupakan kekasih mangsa telah menjalin hubungan cinta selama setahun.
Selepas mengetahui kekasihnya hamil, suspek telah keluar bersama mangsa menaiki kereta keluarga sebelum memukul wanita ini sehingga pengsan dan menikam perut menggunakan pisau bagi mengeluarkan kandungan tersebut.
Suspek kemudiannya telah membakar mangsa dengan menggunakan petrol bagi melupuskan bukti dan kembali kali kedua ke tempat kejadian dengan menunggang motosikal bagi menyelesaikan misinya untuk membakar mayat kekasihnya itu sekali lagi.
Suspek, Muhamad Fakrul Aiman Sajali kini telah pun didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel berkaitan: Ingin Sorokkan Kehamilan, Wanita Dibunuh Kejam Oleh Kekasih
3. Peminat kes jenayah ditangkap lepas lakukan pembunuhan sebab nak tahu ‘perasaan’ bunuh orang
Jung Yoo-jung, seorang wanita dari Korea Selatan telah mengaku membunuh seorang pengajar yang ditemuinya di dalam talian kerana “rasa ingin tahu”.
Jung yang juga merupakan peminat fanatik kes-kes jenayah sebenar telah merancang pembunuhannya ini dengan membuat carian web tentang cara menyembunyikan mayat serta menghabiskan masa berjam-jam membaca cerita-cerita jenayah.
Jung kemudiannya menyamar menjadi budak sekolah yang memerlukan pengajar sebelum pergi ke rumah mangsa yang dipilih dan menikamnya sehingga mati.
Di kedai berhampiran, Jung telah membeli bahan peluntur dan plastik sampah sebelum kembali ke rumah mangsa dan mengerat mangsanya.
Tapi Jung telah membuat kesalahan besar apabila dia memesan sebuah teksi untuk menghantarnya ke satu kawasan hutan dengan beg pakaian yang penuh dengan tubuh badan mangsanya.
Pemandu teksi tersebut yang curiga dengan tindakan wanita ini kemudiannya memberitahu pihak berkuasa yang menemui baju mangsa yang dipenuhi darah dan keratan mayat tersebut di hutan sebelum menahan Jung.
Artikel berkaitan: Jung Yoo-jung: Wanita Obses Dengan Cerita Jenayah Ditangkap Kerana Keinginan Nak Buat ‘Perfect Crime’
4. Kanak-kanak autistik dilaporkan hilang ditemui mati dibunuh
Ramai rakyat Malaysia yang kecewa dan berduka selepas seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang ketika bersama dengan ibunya telah ditemui meninggal dunia di sebuah anak sungai tak jauh dari kawasan rumahnya.
Tak cukup dengan ini, beberapa jam kemudian kita dikejutkan lagi dengan satu berita mengatakan bahawa kanak-kanak istimewa ini meninggal dunia kerana dibunuh ekoran keputusan bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Kini, pihak polis telah meminta bantuan Interpol untuk membantu siasan kes bunuh Zayn Rayyan.
5. Mayat wanita ditemui dalam lantai tandas
Baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan berita penemuan mayat seorang wanita di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang.
Menurut laporan, mayat ini telah ditemui di dalam bilik air sebuah rumah sewa yang sebelum ini disewakan kepada dua lelaki warga asing selama dua tahun bermula Ogos 2019 hingga Oktober 2021 lepas.
Keputusan bedah siasat mendapati mayat yang ditemui itu merupakan wanita berusia 20-an hingga 30-an yang dipercayai telah meninggal lebih setahun akibat tekanan di leher.
Seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan manakala dua warga asing yang merupakan penyewa sebelum ini Ranjit Singh dan Mandeep Singh sedang diburu dengan bantuan Interpol.
6. Pegawai polis langgar pelajar sekolah hingga maut
Awal Disember lalu, seorang pegawai polis telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh selepas dia didakwa telah melanggar seorang pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di luar kawasan sekolah.
Zaharif maut selepas dipercayai diseret oleh kereta yang melanggarnya, ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.
Bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.