Ramai orang yang minat dengan cerita-cerita jenayah ni, bila tengok apa yang berlaku dekat seluruh dunia, secara tak langsung kita sedar yang bahaya ada di mana-mana.
Tapi apa yang berlaku kalau seseorang tu terlalu obses dengan cerita-cerita tentang jenayah pembunuhan ni?
Macam di Korea Selatan, seorang wanita telah menjadi terlalu obses dengan cerita jenayah sebenar sehingga mendorong dia untuk melakukan pembunuhan. Ini cerita tentang Jung Yoo-jung dan macam mana dia boleh tertangkap selepas membuat satu kesalahan…
Pembunuhan terancang
Jun lepas, The Chosun Ilbo melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun, Jung Yoo-jung telah mengaku membunuh seorang pengajar yang dia temui di dalam talian. Sebabnya? Dia saja nak rasa apa perasaan bila bunuh seseorang.
Kerana terlalu obses dengan kisah-kisah benar mengenai jenayah yang orang lakukan, Jung telah merancang untuk membuat jenayah pembunuhan yang paling sempurna.
Untuk ini, Jung telah membuat carian di internet tiga bulan sebelum melakukan pembunuhan ini tentang cara untuk menyembunyikan mayat. Selain itu, dia turut menonton rancangan jenayah sebenar di TV dan meminjam buku-buku tentang jenayah di perpustakaan.
Selepas membuat perancangan, Jung mula mencari mangsa yang sesuai. Wanita ini telah memuat turun aplikasi yang menghubungkan ibu bapa dengan pengajar.
Jung menyamar menjadi ibu kepada anak berusia 14 tahun yang mahu mencari pengajar untuk belajar Bahasa Inggeris.
Selepas berjaya menemui padanan orang yang sesuai untuk mengajar, Jung telah menetapkan tarikh bagi pengajar ini untuk berjumpa dengan “anaknya” beberapa hari kemudian.
Ketika hari yang ditetapkan tiba, Jung telah memakai baju sekolah yang dibeli di kedai online dan pergi ke rumah mangsanya. Dia turut membawa sebilah pisau bersamanya.
Jung seorang yang rendah, dengan memakai uniform sekolah, mangsa mungkin menganggap yang dia adalah budak sekolah.” – Polis
Apabila mangsanya membenarkan dia untuk masuk ke rumah, Jung telah menikam pengajar tersebut sehingga mati menggunakan pisaunya. Dia kemudiannya telah pergi ke kedai berhampiran untuk membeli peluntur dan plastik sampah sebelum kembali ke rumah mangsanya.
Di sana, Jung telah menetak mangsanya ke beberapa bahagian serta turut mengambil telefon bimbit, kad pengenalan dan dompet mangsa.
Tersilap langkah
Walaupun telah merancang selama berbulan-bulan, semasa membuat pembunuhan ini, Jung telah melakukan satu kesalahan yang kritikal yang membawa kepada penangkapannya.
Untuk membuang mayat mangsanya, Jung telah memanggil teksi untuk membawanya ke satu kawasan hutan berhampiran Sungai Nakdong.
Setibanya di sana, Jung telah membuang beg pakaian yang penuh dengan bahagian-bahagian mayat ke dalam hutan. Tingkah laku Jung ini telah mengundang rasa curiga sehingga membuatkan pemandu teksi tersebut membuat laporan kepada pihak polis.
Pihak polis telah menemui beg pakaian yang dibuangnya itu. Di dalam beg tersebut terdapat pakaian yang dipenuhi dengan kesan darah. Di rumah Jung pula, beberapa bahagian badan mangsa turut ditemui. Wanita berusia 23 tahun ini kemudiannya ditangkap.
Pada awalnya, Jung mendakwa yang dia telah membunuh wanita tersebut selepas berlaku pertengkaran antara mereka. Namun selepas polis menemui beberapa fakta yang tak tepat dalam penceritaannya, keluarga wanita ini telah memujuknya untuk mengaku.
Jung turut mengatakan yang dia menyesal dengan tindakannya, dia merupakan seorang yang tiada kawan dan tak ada pekerjaan selepas habis sekolah. Sekarang kami akan membuat ujian untuk melihat sama ada dia seorang psikopat atau pun tidak.
“Jung telah merancang pembunuhan ini kerana terdorong dengan keinginannya untuk membunuh seseorang selepas menjadi obses dengan pembunuhan yang dia lihat di TV dan buku.”
Jenayah yang dilakukan oleh Jung ini telah mengejutkan penduduk di Korea Selatan. Rata-rata orang di sana tak percaya yang seseorang itu boleh membunuh hanya sebab perasaan ingin tahunya.
Baca: Kes Pembunuhan Canny Ong Jadi Punca ‘Parking Lot’ Khas Wanita Diwujudkan Di Malaysia