Bapa pemodenan Turki, Mustafa Kemal Ataturk mula menjadi bualan hangat warga Indonesia apabila nama tokoh itu didakwa akan dijadikan sebagai nama sebuah jalan di Jakarta.
Usul penggantian nama jalan ini dikemukakan sendiri oleh Duta Besar Indonesia ke Turki, Muhammad Iqbal. Jelas beliau, Pemerintah Provinsi DKI Jakarta menyatakan bahawa pihak mereka bersedia untuk memberikan nama dan menyiapkan jalan tersebut.
Untuk rekod, penukaran nama jalan di Jakarta kepada nama tokoh Turki itu adalah bersempena dengan nama Presiden Sukarno yang telah dijadikan sebagai sebuah jalan di hadapan Kedutaan Indonesia di Ankara, dengan nama Jalan Ahmet Soekarno.
Pun begitu, Iqbal menegaskan cadangan nama untuk jalan tersebut masih menunggu maklum balas kerajaan Turki.
“Kami tahu bahawa nama pengasas negara Turki adalah Mustafa Kemal Ataturk. Dia adalah pengasas bangsa Turki, ‘Ataturk’ itu sendiri bermaksud Bapa Bangsa Turki,” kata Iqbal.
Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati, berita penukaran nama jalan ini kurang disenangi oleh warganet Indonesia. Rata-ratanya beranggapan masih ramai lagi tokoh Islam lain yang lebih sesuai untuk diabadikan sebagai nama jalan di Indonesia.
Apa pendapat anda tentang isu ini?
Kredit: Kumparan
BACA: Tak Tahu Nak Buat Apa Ketika Hujung Minggu? Tonton 7 Drama Best Dari Turki Ini!