Seorang warga emas telah ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika sedang sibuk membeli nombor ekor di Kota Tinggi, petang semalam.
Jurucakap JAINJ berkata, lelaki yang berusia 75 tahun itu menyatakan bahawa dia sudah berjudi lebih 40 tahun lalu dan sehingga kini dia masih ‘mencuba nasib’ biarpun faktor kewangan yang agak terhad.
Artikel berkaitan : Beli Nombor Ekor Sebab Nak Cari Duit Lebih Sempena Raya, Dua Lelaki Ditangkap JAIM
Artikel berkaitan : Gadis Diekori Lelaki Tak Dikenali Masa Berbasikal Waktu Malam, Siap Kenyit Mata & Minta Nombor!
“Lelaki itu mendakwa tinggal seorang diri di sebuah rumah kampung. Anggota penguat kemudiannya ke rumahnya untuk mengesahkannya tidak mempunyai penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
“Warga emas terbabit tidak bekerja dan menerima bantuan kerajaan berjumlah RM600 sebulan. Dia pernah bernikah dan berpisah puluhan tahun lalu.”
Dalam pada itu, warga emas lelaki itu mengaku membeli nombor ekor setiap bulan berdasarkan mimpi. Menyedari bahawa perjudian itu haram dan sia-sia, lelaki itu mengatakan sukar baginya untuk meninggalkan tabiat itu.
“Ketika ditahan, dia sedang beli nombor ekor sebanyak RM8 di kedai nombor ekor.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Johor dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjarakan selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber : Harian Metro