in

Ikat & Pukul Selepas Berlaku Kemalangan, 5 Penghantar Makanan Didakwa Membunuh

Ft Penghantar Makanan Membunuh

Lima lelaki penghantar makanan baru-baru ini didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh seorang pemandu kereta sehingga mati selepas terlibat dalam satu kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang yang tular minggu lalu.

Kelima-lima lelaki tersebut dituduh membunuh seorang lelaki, Shahril Samad, 41 tahun, dalam satu kejadian di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang pada jam 9.54 malam, 20 Februari lalu.

Tertuduh, Mahadzir Nordin, 43, Mohd Yuree, 41, Syamsul Qamar, 40, Azharul Azuan, 34 dan Tengku Izham, 22, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Vocket Lima Penghantar Makanan Dituduh Membunuh 1

Pun begitu, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Sementara itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sekiranya tiada hukuman mati, pesalah akan disebat sebanyak 12 kali.

Artikel berkaitan : Polis Sahkan Lelaki Dipukul Hingga Maut Positif Dadah, Ada 10 Rekod Bahan Terlarang

Artikel berkaitan : Bapa Mangsa Dipukul Beramai-ramai Tak Sanggup Lihat Video Kejadian, Harap Pelaku Terima Hukuman

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman dan  semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz.

Pemandumatibh 1708496873 1

Dalam pada itu, tiada jaminan yang ditawarkan kepada kelima-lima tertuduh dan mahkamah menetapkan 25 April hadapan untuk serahan status forensik, laporan kimia serta hasil bedah siasat.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki telah dikejar orang awam selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan penghantar makanan sebelum kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Mangsa kemudian telah ditarik keluar dan diikat sebelum dipukul orang ramai.

Sumber : MalaysiaGazette

Sumber: Hmetro
Sumber: BH Online