Tragis! Seorang wanita maut digilis lori dalam satu kejadian di KM 55.6 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang semalam selepas motosikal yang diboncengnya bersama anak lelaki hilang kawalan ketika mencelah di antara dua lori.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.15 petang dan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan dua buah lori.
Hasil siasatan juga mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Batu 4 ke pusat bandar.


Artikel berkaitan: Punca Kemalangan Lori FRU Korbankan 9 Anggota Pada Mei Lalu Diketahui
Artikel berkaitan: Lagi Anggota Trafik Terlibat Kemalangan Ketika Iringi Delegasi ASEAN
Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan dibonceng ibunya berusia 59 tahun dari arah yang sama telah hilang kawalan ketika cuba mencelah di antara lori tersebut dan sebuah lagi lori.
“Akibatnya, penunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya manakala ibunya terjatuh ke bahagian tayar belakang lori dan digilis, menyebabkan kematian di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.


Mangsa difahamkan mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan dada, manakala anaknya pula di bahagian kaki dan tangan. Anak lelaki mangsa kini sedang dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pemandu lori walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang yang mempunyai maklumat mengenai kejadian bolehlah berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822 (tablet DCC).
Sumber: Sinar Harian, X
