Bapa kepada Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, merayu agar semua pihak memberikan sokongan kepadanya dan keluarga bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan buat anaknya.
Mohd. Khairool Faisal Khyar, 42, berkata, keluarganya amat menghargai kehadiran serta bantuan orang ramai yang membantu melancarkan urusan pengebumian anaknya.
Artikel berkaitan : “Dia tak minat ada teman lelaki” – Irene Sofiya Sangat Pentingkan Pelajaran, Kejar Impian Jadi Doktor Pakar
Artikel berkaitan : Kes Pegawai Polis Didakwa Bunuh Pelajar Sekolah Dipindah ke Mahkamah Tinggi
Mahu tegakkan keadilan
Saya ayah kepada Irene Sofiya. Kami berterima kasih kepada semua yang datang dan kami harap dapat sokongan semua untuk tegakkan keadilan untuk anak saya, arwah anak saya.”
“Itu sahaja yang kami harap,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian Irene Sofiya di Tanah Perkuburan Islam Parit Arshad, Yong Peng, semalam.
Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya ketika berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja kira-kira pukul 6 petang semalam.
Lebih memilukan, pertemuan terakhirnya bersama Irene Sofiya berlaku kira-kira dua minggu lalu ketika anaknya pulang bercuti.

Katanya, ketika itu Irene Sofiya kelihatan seperti biasa dan ceria menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar.
“Tak ada (perubahan), dia macam biasa saja, seronok belajar. Yang lain-lain tak ada tunjuk apa-apa,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd. Khairool meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat atau membuat spekulasi yang tidak sepatutnya berhubung kematian anaknya.
“Semuanya pun dalam siasatan polis dan kita serahkan kepada pihak yang berkuasa,” katanya.
Sebelum ini, Irene Sofiya yang merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemukan tidak bernyawa dengan kecederaan parah pada muka dan badan di sebuah dewan sekolah di Yong Peng pada petang semalam.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia, manakala polis menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Sumber: Kosmo!
