in

“Haram menziarahi Masjid Al-Aqsa” – Nadir Al-Nuri, Satu-satunya Rakyat Malaysia Di Palestin Jelaskan Sebabnya

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tidak dinafikan, semakin hari semakin banyak agensi pelancongan Muslim menawarkan pakej ziarah ke Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis — tanah suci ketiga bagi umat Islam.


Ada juga dalam kalangan selebriti tempatan sebelum ini dilihat berkongsi kisah ziarah mereka ke sana.

Dan tidak dinafikan juga, setiap kali terbaca mana-mana kisah rakyat kita ‘diizinkan’ menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa — terselit sedikit perasaan iri, kerana beruntungnya mereka diberikan ruang dan peluang untuk melihat Palestin dengan anak mata sendiri.

Namun sebenarnya, masih ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui — bahawa orang luar diharamkan daripada memasuki bumi Al-Aqsa atas beberapa faktor.

Dan mengikut perkongsian dari sebuah badan bukan kerajaan Aqsa Syarif, fatwa yang mengharamkan ziarah ke atas Masjid Al-Aqsa itu adalah fatwa muktabar yang disokong oleh Kesatuan Ulama Sedunia, Kesatuan Ulama Palestin, Ulama Al-Azhar serta Briged Al-Qassam sendiri!

Dalam satu video yang dikongsikan Nadir Al-Nuri, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Palestin — beliau menjelaskan mengapa kita diharamkan daripada memasuki Al-Aqsa.

Bolehkah Ziarah Ke Bumi Al-Aqsa?

Biar orang yang tinggal di Palestin sendiri yang explain.https://mlstudios.my

Posted by ML Studios on Thursday, May 30, 2019

 

Menurut Nadir, ia merupakan satu perancangan normalisasi dari pihak rejim zionis.

“Ia dilakukan untuk membuatkan orang lain rasa, bahawa melancong ke bumi Al-Aqsa, ke tanah yang dijajah zionis adalah suatu tindakan betul, sesuatu yang tidak membawa mudarat.”

“Maknanya bila kawan-kawan kita yang melancong ke Al-Aqsa, dia kata tidak berlaku pergelutan di antara penduduk Islam dan juga pendatang haram zionis. Disebutkan bahawa orang Islam boleh masuk ke dalam Al-Aqsa dengan mudah, disebutkan bahawa orang Islam sudah tidak lagi menentang, tidak mahu lagi membebaskan bumi Al-Aqsa.”

Katanya, semua itu adalah pandangan-pandangan yang telah meracuni minda pelancong-pelancong yang masuk ke sana.

Umum mengetahui, Baitulmaqdis telah jatuh ke tangan pendatang haram yahudi pada tahun 1967.

Jadi, kedatangan kita ke sana tanpa sebarang alasan yang kukuh dan hanya berniat untuk melancong semata-mata — secara tidak langsung umpama kita mengiktiraf tanah yang dirampas zionis itu sebagai milik mereka.

Kerana apa? Kerana segala urusan keluar masuk ke situ hanya dengan kebenaran yahudi semata-mata.

Dan sudah tentulah segala wang ringgit yang kita sumbang kepada industri pelancongan Baitulmaqdis, tidak sampai pun kepada rakyat Palestin yang sewajarnya lebih berhak menerimanya.

Namun bukanlah tidak boleh langsung kalau kita nak ke sana, cuma menurut Nadir — ia haruslah disertakan dengan niat yang kukuh.

“Kalau kalian nak masuk nak melawat ke dalam bumi Al-Aqsa, pastikan ada sebab-sebab yang besar.”

Contohnya, masuk kerana mahu membina rangkaian dengan NGO di sana atau masuk sebagai wartawan untuk membuat liputan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat luar apa mengenai yang sedang berlaku di Al-Aqsa.

“Tapi kalau kita setakat nak masuk untuk beri sedikit duit kepada imam Al-Aqsa, sebenarnya kesannya adalah lebih buruk daripada kebaikan yang kita bawa.”

Nadir turut menjelaskan, law of absence yang disebut-sebut sebelum ini yang mana sekiranya umat Islam tidak menziarahi Al-Aqsa — maka kawasan itu akan diambil oleh zionis, adalah mengarut semata-mata.

Ini kerana tegasnya, mereka yang berada di bumi Palestin (penduduk) akan terus mempertahankan bumi Al-Aqsa dan tidak akan membiarkan kawasan tersebut dirampas oleh zionis.

Betul juga kan kalau difikirkan semula, zionis sendiri melarang keras penduduk Palestin ke Al-Aqsa tetapi mengapa beri kelonggaran kepada orang luar untuk datang pula?

Kalau masih ada yang mahu menziarah Al-Aqsa, perlulah perbetulkan niat dahulu.

Semoga kedatangan kita ke sana tidak disia-siakan begitu sahaja.

 

Baca: Buat Pertama Kalinya, Warga Palestin Mencabar Pendatang Haram Yahudi Yang Mendiami Tanah Mereka Di Mahkamah Amerika Syarikat!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.