Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata dalam satu kenyataan, melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri adalah haram hukumnya.
Sambung beliau, hukum ini dibuat merujuk kepada hadis Rasulullah SAW mengenai penyakit taun.
Jelas beliau, Rasulullah menyebut supaya umat manusia mengelak pergi ke sesuatu tempat jika mendengar penyebaran sesuatu wabak, dan mereka tidak boleh keluar jika sudah berada di dalam tempat itu.
“Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram”
“Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?”
Beliau kemudiannya memberi contoh terkini, di mana ada individu yang menipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (palsu) Yang Dipertuan Agong.
“Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran)”
Untuk rekod, kenyataan ini dikeluarkan ketika Seminar ‘Cabaran COVID-19 Menurut Perspektif Islam’ dan pelancaran Fakulti Pengajian Islam di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Luqman turut berkata, beliau sepatutnya bergerak ke Kelantan untuk satu mesyuarat, namun membatalkannya kerana mahu mengelak sebarang risiko jangkitan.
Sumber: Berita Harian
BACA: Tiada Rekod Wanita Mohon Rentas Negeri Untuk Bawa Bapa Ke Hospital – Polis