Dua jenis sukan yang menjadi penyumbang pingat untuk negara di Sukan Komanwel telah digugurkan dari temasya tersebut yang bakal diadakan di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026 nanti.
Sukan berkenaan ialah badminton dan terjun dan hanya 10 jenis sukan sahaja akan dipertandingkan dalam edisi tersebut berbanding 19 sebelum ini di Sukan Komanwel 2022 Birmingham di England, kata Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).
Antara sukan yang dipertandingkan seperti olahraga dan para (trek dan padang), renang dan para renang, gimnastik artistik, trek berbasikal dan para trek berbasikal.
Ia juga termasuklah sukan bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling padang dan boling padang para, bola keranjang tiga lawan tiga dan bola keranjang kerusi roda tiga lawan tiga.
Artikel berkaitan: Australia Tarik Diri, Malaysia Ditawar Jadi Tuan Rumah Sukan Komanwel 2026?
Artikel berkaitan: “Top 10!” – Kontinjen Malaysia Di Sukan Komanwel Lepasi Sasaran, Bawa Pulang 7 Pingat Emas!
Tidak dapat dielakkan susulan penolakan Victoria, Australia
Menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mereka menerima keputusan Glasgow mengenai ketiadaan sukan utama negara tersebut pada edisi Komanwel kali ini dan memahami usaha menjadikan sukan tersebut berdaya maju dari segi kewangan.
Datuk Nazifuddin Najib selaku Setiausaha Agong MOM berkata, langkah itu tak dapat dielakkan mengikut masa dan keperluan susulan penarikan diri Victoria, Australia tahun lepas.
Fokusnya adalah untuk menjadikan sukan yang boleh mencapai kualiti tertinggi dari segi kewangan dengan cara yang mampan.
“Dalam bergerak ke hadapan, terdapat keperluan untuk mengutamakan perkara yang paling penting kepada atlet dan sukan.
“Oleh itu, kami menerima hakikat Glasgow 2026 akan menjadi lebih kecil daripada sukan sebelumnya dengan mengorbankan sukan yang kita hebat seperti badminton, akuatik – terjun, hoki dan skuasy,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tarik diri jelah” – Netizen
Susulan pengumuman berkenaan, netizen di media sosial meluahkan rasa kecewa sehingga ke tahap ada yang mahu memboikot Komanwel dan mahu Malaysia menarik diri dari temasya berkenaan.
Apa pendapat korang bila badminton dan terjun tak dipertandingkan?
Sumber: Sinar Harian