Whatsapp adalah antara aplikasi komunikasi yang menjadi pilihan orang ramai bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Menurut Business Insider, Whatsapp adalah aplikasi yang paling banyak dimuat turun untuk telefon bimbit android pada bulan Julai tahun ini.
Aplikasi ini mendapat sambutan orang ramai kerana percuma dan sangat mudah untuk digunakan. Ia juga mempunyai feature yang memudahkan penghantaran gambar, dokumen dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, aplikasi ini sering dijadikan saluran untuk segelintir individu menghantar mesej palsu dan berunsur fitnah. Mesej seperti ini adalah bahaya kerana akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan.
Menurut Harian Metro, seorang guru teknologi maklumat (IT) telah dihadapkan ke mahkamah di atas kesalahan menghantar mesej palsu di Whatsapp group. Rafeah Buang, 36, telah membuat dan memulakan penghantaran mesej palsu di Whatsapp group dengan niat untuk menyakitkan hati, sekaligus menjadikannya orang pertama di Malaysia yang dihadapkan di mahkamah kerana pertuduhan membabitkan aplikasi Whatsapp. Sakit hati punya pasal…
Rafeah dikatakan telah menghantar komunikasi palsu ke Whatsapp group bernama KARPET EMAS 189-SEMPORNA pada tahun 2014 yang lalu. Bagaimanapun, Rafeah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen Tawau atas pertuduhan tersebut.
Mesej yang dihantar olehnya berbentuk makluman agar berhati-hati dengan sebuah kereta Proton berwarna hitam dengan nombor plat, SAA6086T di mana pemandunya dipercayai perogol dan untuk tujuan keselamatan, sebar kepada keluarga dan rakan.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan denda lanjutan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Walau bagaimanapun, hakim membenarkan jaminan terhadap Rafeah sebanyak RM2,500 berserta seorang penjamin yang memiliki alamat tetap di Semporna.
Jangan main-main ye sekarang ni. Kalau didapati bersalah, boleh masuk penjara tau. Jadi lepas ni, eloklah kita berhati-hati, fikir dahulu sebelum menghantar sesuatu. Tak kiralah di Whatsapp atau pun di media sosial seperti di Facebook, Twitter dan Instagram.
Baca: Konstabel Polis Jadi Dalang Sindiket Pelacuran, Iklankan Gadis Malaysia Untuk Tarik Pelanggan