in

Graduan Perakaunan Tekad Jadi Pembantu Rumah Selepas Satu Tahun Berusaha Mencari Kerja

Maid Feature

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tidak dinafikan, mencari pekerjaan tetap merupakan sesuatu yang sukar terutamanya mereka yang tiada pengalaman pekerjaan atau lebih tepat lagi, graduan lepasan universiti.


Disebabkan perlu menampung perbelanjaan seharian serta perlu membayar komitmen setiap bulan, kebanyakan lepasan universiti tekad untuk bekerja di luar bidang. Sebagai contoh, bagi wanita, makin ramai yang membuat keputusan untuk menjadi pembantu rumah.

Begitulah yang dilakukan Nor Asma Arifin, 21, seorang pemegang ijazah Diploma Perakaunan berasal dari Dungun, Terengganu ini. Menurut Straits Times, anak kelima daripada 10 adik beradik ini telah berusaha mencari pekerjaan selama satu tahun sejak tamat pengajian lagi.

Maid 3
sumber: straits times

Malangnya, nasib tidak menyebelahi Asma namun dia sama sekali tidak berputus asa dan disebabkan terpaksa, Asma mengambil peluang pekerjaan yang ada termasuklah juruwang di pasar raya dengan gaji sebanyak RM800 sebulan.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, jumlah itu sudah tentunya tidak cukup buatnya untuk bertahan.

“Jumlah itu masih tidak cukup untuk saya bertahan sehingga bayaran gaji seterusnya.”

Asma yang turut membantu keluarganya dengan melakukan bermacam-macam kerja di kampung kemudian ternampak iklan kerja dari My Local Maid sebelum tekad untuk melakukan pekerjaan itu.

“Jadi, apabila saya ternampak iklan daripada My Local Maid yang mencari wanita Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan bayaran minimum RM1,000 dan cuti berbayar, saya terus berfikir untuk mencuba.”

Maid 1
sumber: mmo

Selepas satu tahun tidak mempunyai pekerjaan, Asma kini gembira dengan pekerjaannya sebagai pembantu rumah di Petaling Jaya, Selangor. Asma pada awalnya bimbang untuk hidup dengan orang yang tidak dikenali, namun kini sudah menyesuaikan diri dengan baik untuk tinggal bersama majikannya iaitu penerbit, Ahmad Fedtri Yahya, 36.

“Tiada banyak perbezaan pun dengan tinggal di rumah ibu bapa. Saya bangun jam 5 pagi dan mula mengemas rumah sebelum menyiapkan sarapan.

“Paling seronok, makanan dan tempat tinggal sentiasa terjaga selain mendapat faedah yang besar.”

Ahmad Fedtri akui bahawa mengambil Asma bekerja dengannya merupakan salah satu keputusan terbaik pernah dilakukannya dan isteri. Selain membuat kerja rumah, Asma juga turut membantu menjaga tiga anak mereka.

“Tidak ada kerumitan dalam pengambilan Nor Asma kerana tiada halangan bahasa dan tidak memerlukan permit kerja. Jika kami mahu melancong juga senang untuk membawanya bersama.”

Maid 2
sumber: straits times
Maid 4
sumber: straits times

My Local Maid diusahakan oleh peguam, Wan Roslan Wan Othman, 43, bersama rakannya yang menyediakan pembantu rumah warganegara Malaysia. Menurut Wan Roslan, idea itu adalah cara pragmatik untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan wanita dia Malaysia.

“Saya perhatikan ramai keluarga yang bersusah payah untuk memenuhi keperluan seharian, terutamanya wanita yang tinggal di rumah menjaga anak sementara pasangan mereka bekerja.

“Ada di antara mereka mendapat beberapa ringgit sehari dari kerja-kerja di kampung, hanya cukup untuk satu kali makan. Selebihnya mereka hanya meminum air sepanjang hari.”

My Local Maid menerima wanita sihat dari seluruh negara yang tidak mempunyai pekerjaan. Bagaimanapun, ianya tidak terhad kepada orang tua, ibu tunggal, balu atau janda, gelandangan dan orang kurang upaya sahaja. Graduan juga boleh memohon selagi pemohon boleh melaksanakan tugas yang ditetapkan sebagai pembantu rumah.

Bagus juga inisiatif My Local Maid ini. Mungkin ramai majikan lebih selesa bekerja dengan orang tempatan daripada pembantu rumah negara jiran.

Baca: Pemegang Ijazah Kejuruteraan Gagal Dapat Kerja Tekad Jadi Tukang Cuci Rumah Demi Sara Hidup

Ijazah Maid

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.