Kita semua tentu pernah berdepan detik-detik memalukan dalam hidup, dan tambah memalukan — moment itu turut disaksikan oleh orang lain.
Itu yang berlaku ke atas seorang pembaca berita dari Ukraine, Marichka Padalko — apabila gigi hadapannya tercabut ketika sedang bersiaran langsung di kaca televisyen!
Namun apa yang lebih menarik, adalah reaksinya yang bersahaja dan tenang mengawal situasi yang tidak disangka-sangka itu.
Tidak mahu kejadian itu mengganggu kelancaran siaran langsung, beliau yang menyedari giginya akan tertanggal dengan pantas ‘menangkap’ dengan tangan sebelum meneruskan penyampaian seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Dan tanpa segan silu, beliau turut memuatnaik video kejadian memalukan itu di laman Instagramnya sendiri — sambil menjelaskan, ia antara pengalaman menarik yang pernah berlaku ke atas dirinya sepanjang 20 tahun bergelar penyampai berita.
Katanya, dunia penyiaran sememangnya dipenuhi dengan pelbagai kejutan.
Ibu kepada tiga anak itu turut menjelaskan, kerosakan gigi hadapannya itu berpunca daripada kemalangan yang tidak disengajakan lebih 10 tahun lalu — apabila anak perempuannya tidak sengaja membaling sebuah jam loceng ke arahnya ketika baru bangun tidur.
Apa pun, kejadian ‘gigi tercabut’ itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bersiaran seperti biasa pada keesokan harinya.