Pihak pembelaan ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum lagi menerima sebarang maklum balas daripada polis berhubung kebocoran dan maklumat didakwa berkaitan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu yang dimuat naik dalam media sosial.
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata maklumat yang tular menerusi akaun Telegram itu mengeluarkan perkara yang didakwa bahan bukti, sebelum laporan polis dibuat.
Artikel berkaitan : “Video mengecam, berbau hasutan” – Peguam Ibu Bapa Zayn Rayyan Mohon ‘Gag Order’ Terhadap 5 TikTokers
Artikel berkaitan : Adik Zayn Rayyan Masih Dalam Jagaan JKM, Ibu Bapa Perlu Buat Temu Janji Jika Ingin Berjumpa
“Akaun media sosial itu mengeluarkan dua bahan bukti yang saya tidak boleh sahkan. Hingga kini, kami belum menerima apa-apa maklum balas daripada polis sama ada siasatan sudah dibuka atau dilanjutkan kepada Jabatan Peguam Negara… kami tiada maklumat.”
“Kami tidak membuat sebarang laporan polis lagi berhubung kebocoran dikatakan gambar ‘post mortem’. Kami baru saja menerima gambar bedah siasat, hari ini, dan akan berbincang dengan anak guam serta keluarga mereka sama ada untuk membuat laporan polis kedua berkaitan gambar berkenaan, sebab kami nak tengok gambar itu betul atau tidak.”
13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber : Berita Harian