Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI bermula esok, 5 Disember, hingga 7 Disember 2025 di Pekarangan Dataran Putrajaya. Karnival berskala nasional ini menawarkan sejumlah 10,000 peluang pekerjaan untuk diisi, dengan tawaran gaji mencecah sehingga RM13,000.
Karnival yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang ini menghimpunkan lebih 30 majikan terkemuka negara. Ia dijangka menjadi salah satu platform padanan pekerjaan terbesar menjelang penutup tahun 2025.
PERKESO juga memaklumkan bahawa karnival ini menawarkan pelbagai jawatan merentasi industri utama, termasuk bidang berkemahiran tinggi dan teknikal. Antara bidang yang ditawarkan termasuk kejuruteraan, geologi, maritim, serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan (HSE).

Jawatan bergaji tinggi yang ditawarkan termasuk:
- Pengurus: Gaji antara RM10,000 hingga RM12,999.
- Juruanalisis Sistem: Gaji maksimum sehingga RM10,000 dan ke atas.
- Pegawai Perubatan: Gaji antara RM10,000 hingga RM12,999.
- Business Development Manager: Gaji maksimum RM12,999.
- Senior Manager, Warehouse Department: Gaji antara RM8,000 hingga RM9,999.
Senarai jawatan ini merangkumi peluang untuk graduan baharu, pencari kerja aktif, serta individu yang ingin meningkatkan kerjaya ke tahap lebih tinggi dalam sektor strategik negara.
Antara majikan terkemuka yang mengambil bahagian termasuklah FGV Holdings Berhad, SD Guthrie, Media Prima Berhad, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, West Port, Port of Tanjung Pelepas, dan Columbia Asia.
Bagi memastikan pencari kerja membuat persediaan terbaik, PERKESO turut menyediakan khidmat sokongan di tapak karnival. Ini termasuk khidmat kaunseling kerjaya, semakan resume secara intensif, dan konsultasi bersama Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan yang berpengalaman.
Artikel berkaitan : MYFutureJobs PERKESO Berjaya Tempatkan Hampir 12,000 Pencari Kerja
Artikel berkaitan : Festival Mega i LINDUNG u, Permulaan Siri Jelajah PERKESO Lindung Seluruh Negara
Pencari kerja digalakkan untuk membuat pra-pendaftaran di laman web rasmi di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair bagi melancarkan proses di tapak karnival. Mereka juga diingatkan untuk hadir dengan resume terkini, berpenampilan profesional, dan bersedia menghadapi sesi temu duga.
PERKESO menegaskan bahawa karnival ini merupakan peluang terbaik bagi mereka yang serius ingin mendapatkan pekerjaan berkualiti, membina rangkaian profesional, dan memperoleh panduan langsung daripada pakar industri.

