in

Gadis 16 Tahun Memandu Tanpa Lesen Rempuh Motorsikal Menyebabkan Warga Emas Maut

Maut 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Banyak kesan buruk boleh terjadi jika seseorang itu memandu tanpa lesen memandu yang sah. Antaranya adalah menyebabkan kemalangan yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah.


Seorang gadis berusia 16 tahun mengambil keputusan untuk memandu tanpa lesen memandu yang sah sebelum terlibat dalam kemalangan di Kampung Musa, Kuala Nerang di Alor Setar.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada Jumaat lalu, gadis itu yang memandu kereta Perodua Kancil ditemani rakannya, gagal untuk menekan brek dan merempuh motorsikal seorang warga emas yang sedang keluar dari lorong dan cuba untuk menyeberang jalan.

Menurut pihak polis gadis itu dipercayai hilang kawalan ketika memandu sebelum terbabas ke dalam parit. Disebabkan itu, Lijah Mat Hashim, 65 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Gadis berkenaan bersama rakannya yang juga berusia 16 tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Acc3
sumber: free malaysia today

Mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah meninggalkan suami, Abdul Wahab Junus, 65 dan enam orang anak berusia dalam lingkungan 21 hingga 46 tahun.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad Lukman berkata, enam anggota dan pegawai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.14 petang.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindak selanjutnya sebelum diserahkan kepada waris bagi urusan pengebumian.

Bapa kepada gadis itu kemudian dilaporkan hadir di upacara pengebumian berkenaan dan memohon maaf kepada suami dan anak-anak mangsa.

Ia satu kesilapan besar. Semuanya sudah takdir. Saya berharap keluarga mangsa dapat memaafkan anak perempuan saya,” katanya.

Menurut lelaki itu yang enggan namanya disiarkan, dia baru sahaja selesai kursus haji dan sedang dalam perjalanan pulang ketika dimaklumkan tentang perkara itu oleh rakan.

Sebelum ini dia tidak memandu kereta dan saya benar-benar tidak tahu apa yang membuatkannya bertindak sedemikian,”

Saya tahu tarikh 24 Mac 2017 akan menjadi tarikh yang anak saya akan ingat sampai bila-bila. Kejadian ini akan sentiasa menghantui dirinya,” katanya.

Gadis itu pula dilaporkan sudah berada di rumah namun bapanya tidak boleh mendapatkan apa-apa maklumat daripada anaknya kerana masih dalam keadaan trauma.

Abdul Wahab yang bekerja sebagai seorang petani pula memberitahu bahawa dia dan keluarga tidak mampu berkata apa-apa buat masa ini kerana masih dalam kesedihan selepas kehilangan isterinya.

Tolonglah jangan memandu tanpa lesen. Nyawa orang tidak boleh diganti…

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.