Menonton filem menjadi hobi bagi kebanyakan remaja zaman sekarang untuk menghabiskan masa terluang. Apatah lagi ia dimeriahkan dengan lambakan filem luar negara terutamanya dari negara barat yang sering mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan.
Pun begitu, anda kenalah berhati-hati dalam memilih filem yang bakal ditonton dari barat tidak lama lagi kerana filem-filem ini didakwa menjadi punca kepada naiknya bilangan kelahiran anak luar nikah di Malaysia, lapor FMT. Errrmmmm…
Kenyataan ini telah dikeluarkan ADUN PAS Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali yang mempersoalkan peranan Perbadanan Filem Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) dalam menapis filem barat yang berunsur seks melampau semasa membahaskan Bajet 2018 untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat semalam.
Menurutnya, tanda 18SX yang diletakkan Finas itu seakan-akan membenarkan unsur seks cuma bukan bersifat keterlaluan.
“Saya bimbang fenomena yang berlaku hari ini dengan lahirnya begitu ramai anak-anak luar nikah, anak tak sah taraf dan sebagainya hasil daripada filem barat yang sebenarnya menampilkan gaya hidup bebas.
“Filem barat juga ada kebarangkalian untuk membiasakan kelahiran anak luar nikah, bersedudukan dan fahaman atheis yang mana tidak sesuai dengan norma dan budaya setempat,” kata Khairuddin.
Tambahnya lagi, dia juga takut jikalau perkara tersebut menjadi fenomena tanpa sedar yang mana akan membentuk minda dan cara berfikir rakyat kita sendiri. Betul juga tu ye…
Menerusi sesi perbahasan itu, Khairuddin juga meminta penjelasan Finas mengenai garis panduan yang mereka gunakan dalam menapis kemasukan filem ke negara ini.
Dalam masa yang sama, Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari menjelaskan bahawa mungkin terdapat kekeliruan masyarakat mengenai peranan sebenar Finas.
“Pihak Finas bukan agensi yang membuat penapisan. Penapisan filem di bawah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mana tertakluk Akta Penapisan Filem (Akta 620) dan garis panduan penapisan filem,” katanya.
Pun begitu, terdapat segelintir netizen yang kurang bersetuju dengan kenyataan Khairuddin.
Diffahamkan sebanyak 18,000 remaja hamil anak luar nikah menerusi laporan Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2014 lalu.
Anda rasa macam mana? Betul ke kalau tonton filem barat boleh menjebakkan diri buat perkara tak elok? Kongsikan komen anda bersama kami.
Baca: Wanita Tikam Bayinya Yang Baru Dilahirkan Hingga Mati Kerana Malu Punyai Anak Luar Nikah