Baru-baru ini satu perhimpunan keagamaan (tabligh) telah diadakan di Masjid Sri Petaling yang melibatkan hampir 10,000 orang daripada beberapa buah negara termasuklah Malaysia dengan penyertaan sebanyak 5,000 orang, lapor Harian Metro.
Daripada 5,000 orang tersebut 350 daripadanya merupakan penyertaan dari negeri Sabah. Mereka diarahkan untuk membuat ujian saringan di klinik kesihatan bagi memastikan sama ada positif ataupun negatif untuk virus Covid-19.
Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun dari Tawau disahkan sebagai individu pertama positif Covid-19 di Sabah. Susulan daripada kes itu, pihak Hospital Besar Tawau (HBT) tak membenarkan mana-mana pelawat pesakit berada di wad hospital bagi langkah berjaga-jaga mengelakkan penularan virus ini, lapor Harian Metro
Timbalan Pengarahnya, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya hanya membenarkan penjaga sahaja boleh melawat pesakit bermula dari semalam.
Dalam membuat persediaan awal, pihak HBT telah pun menyediakan beberapa wad khas yang boleh menampung 60 pesakit dalam masa yang sama.
Kita berdoa semoga wabak ini dapat dihapuskan segera.