Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil menyelar sikap segelintir pihak yang lantang mengkritik penganjuran RXZ Members Ride 3.0, namun didakwa berdiam diri terhadap isu pemandu mabuk yang jauh lebih berbahaya di jalan raya.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan setiap pihak seharusnya bersikap adil dalam menilai sesuatu perkara dan menghormati hak orang lain sebagaimana mereka mahu hak sendiri dihormati.

Menurut Dr Akmal, kecaman terhadap RXZ Members Ride timbul susulan tindakan segelintir peserta yang melanggar peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat dan menunggang melawan arus.
“Macam mana kita mahu orang lain menghormati hak kita, begitulah juga sepatutnya kita menghormati hak orang lain. Penganjuran himpunan RXZ semalam menerima pelbagai reaksi, ada yang memuji dan ada juga yang mengecam.
“Kritikan timbul susulan tindakan segelintir peserta yang tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat dan menunggang melawan arus.
“Perkara ini memang wajar ditegur dan dikecam kerana melibatkan keselamatan nyawa penunggang serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Artikel berkaitan: Hajat Sertai RXZ Melaka Attack 2025 Tak Kesampaian, Seorang Peserta Maut Terlibat Kemalangan Jalan Raya
Artikel berkaitan: Konvoi Bertukar Tragedi, Seorang Lelaki Terbabas Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ Members 7.0
Namun begitu, beliau tidak bersetuju sekiranya keseluruhan penganjuran acara itu dihukum secara menyeluruh hanya disebabkan kesalahan segelintir individu.
Katanya, daripada puluhan ribu peserta yang hadir, majoritinya menunggang dengan berhemah dan mematuhi undang-undang.

Tambahnya lagi, penganjuran tersebut turut memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan apabila hotel menerima tempahan dan peniaga kecil meraih keuntungan, selain menjadi ruang untuk komuniti permotoran berkumpul dan meraikan minat mereka.
Dr Akmal turut mengibaratkan situasi itu seperti musim perayaan yang diraikan setahun sekali, di mana bunyi mercun dan suasana meriah boleh difahami selagi tidak mendatangkan bahaya.
Tegasnya, tindakan perlu diambil jika sesuatu perbuatan mengancam keselamatan, namun menghukum semua peserta tanpa melihat konteks sebenar adalah tidak wajar.
Terdahulu, DAP Melaka membantah penganjuran RXZ Members Ride 3.0 dengan mendakwa ia mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya susulan aduan berkaitan bunyi bising serta aktiviti menunggang pada kelajuan tinggi, terutama pada lewat malam.
