Dengan kos sara diri yang makin meningkat serta peluang pekerjaan yang terhad dalam negara, memang tak hairan makin ramai rakyat Malaysia yang terjebak dengan penipuan sindiket pekerjaan di luar negara lebih-lebih lagi bila ditawarkan dengan gaji yang lumayan.
Lebih menyedihkan, ada juga yang turut hilang nyawa dan diseksa dengan teruk apabila terjebak dengan penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Memetik laporan dari Harian Metro, mangsa-mangsa ini telah menceritakan pengalaman perit yang terpaksa dilalui oleh mereka kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim.
Menurut Hishamuddin, ada mangsa wanita beragama Islam telah ditipu dan dipaksa melacurkan diri dan tidur dengan lelaki beramai-ramai, dicabul serta disuruh makan makanan berlaukkan daging babi.
Malah jika tak memberikan prestasi yang memuaskan, mereka akan dihukum atau dijual kepada sindiket lain seperti pelacuran.
Salah seorang mangsa, Elyn menceritakan pengalamannya ketika dia ditipu di Kemboja selepas sindiket tersebut menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di syarikat komunikasi.
Katanya, empat bulan lalu dia telah dipaksa untuk menjadi scammer dan disuruh tidur bersama ramai lelaki serta memakai pakaian seksi sekiranya tidak menepati sasaran.
Kata Hishamuddin, dia turut menerima banyak aduan dari ahli keluarga meminta agar pihaknya selamatkan anak mereka yang terkandas.
Ada satu kes di mana lelaki itu sebelum ini bekerja dengan syarikat teknologi maklumat di Dubai namun apabila syarikat ditutup, dia ditawar sindiket kononnya untuk bekerja dalam bidang sama di Thailand dengan tawaran gaji lebih lumayan.
“Namun apabila tiba di Chiang Mai, Thailand, lelaki terbabit dikurung sebelum dibawa pihak sindiket ke Laos dan dipaksa bekerja sebagai scammer.”
Kebanyakan mangsa juga akan diseksa seperti dibelasah, direnjat dengan elektrik atau organ diambil untuk dijual di pasaran gelap sekiranya enggan melakukan pekerjaan tersebut.
Salah seorang mangsa yang terselamat juga turut menceritakan detik ketika dia diajak oleh rakannya yang bekerja di luar negara dengan menawarkan gaji sebanyak ASD$1,100 (RM4,991).
Rakannya itu mendakwa mereka akan bekerja dengan aplikasi pelaburan forex dan apabila tiba di sempadan Vietnam, dia dipaksa bekerja sebagai scammer.
“Dia turut memberitahu diseksa dan dipukul, malah tiga jarinya hampir putus, hidung berdarah, mata lebam dan kepala bengkak sehingga sukar untuk tidur.”
Namun begitu, Hishamuddin pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil tindakan dan berharap hasil kerjasama melalui Asean atau Asean+3 dapat menamatkan penindasan dilakukan.
Pun begitu, dia turut mengakui bahawa kita lewat bertindak kerana ada kematian direkodkan akibat sindiket ini dan tak tahu berapa ramai jumlah sebenar yang menjadi mangsa perhambaan moden ini.
Baca: 5 Taktik Digunakan Oleh ‘Sindiket Pemerdagangan Orang’ Yang Korang Perlu Tahu!