Dennis Rader: Bapa Dan Suami Penyayang Ini Lebih 30 Tahun Bunuh & Seksa Jiran-jirannya Tanpa Dikesan

Selama 30 tahun, ketua pengakap dan presiden majlis mesyuarat gereja telah melakukan jenayah yang sangat mengerikan kepada jiran-jirannya tanpa pengetahuan sesiapa termasuk isterinya sendiri.

Dennis Rader: The BTK Killer

Dennis Rader merupakan presiden jemaah gereja serta seorang suami penyayang dan bapa yang bertanggungjawab. Luarannya, dia kelihatan seperti seorang lelaki yang sangat boleh diharap.

Kerana imej yang ditonjolkannya sangat bersih, tak ada orang sangka yang Dennis merupakan pembunuh yang telah menyeksa dan membunuh lebih 10 orang di sekitar kawasan Witchita, Kansas.

Kerana itu, masa pihak polis menahan lelaki ini, isterinya Paula Dietz dan anaknya Kerris tak percaya langsung dengan dakwaan mereka.

Ayah saya yang ajar saya untuk jadi orang yang baik. Dia ajar saya apa yang betul dan apa yang salah.”

Namun, apa yang dia tak tahu, selama 30 tahun bapanya telah memburu gadis-gadis seperti dirinya sendiri. Jom baca untuk tahu lebih lanjut tentang pembunuh kejam yang pernah menggegarkan Amerika Syarikat ini.

Latar belakang Dennis Rader

Dennis dilahirkan pada 9 Mac 1945 dan merupakan anak sulung dari empat adik-beradik. Dia membesar di Wichita yang kemudiannya turut menjadi tempat dia melakukan jenayah kejamnya.

Semasa remaja, Dennis sering menggantung dan menyeksa haiwan liar. Dia menggambarkan dirinya sebagai seorang yang pelik.

Semua lelaki mempunyai fantasi seksual tersendiri. Cuma saya punya lebih pelik berbanding orang lain.”

Dia juga mengatakan yang dia suka ikat tangan dan kakinya dengan tali dan tutup kepalanya dengan beg serta menggunting gambar-gambar wanita dan lukis tali di muka mereka sambil membayangkan macam mana dia boleh kawal dan ikat wanita-wanita ini.

Semua benda-benda ni dia lakukan secara sembunyi dan berlakon seperti orang normal.

Pada pertengahan sehingga lewat tahun 1960-an, Dennis berkhidmat di dalam Tentera Udara Amerika Syarikat sebelum pulang ke Wichita dan bekerja sebagai juruelektrik.

Dennis bertemu dengan isterinya Paula dari gereja di Wichita dan berkahwin pada tahun 1971.

Pembunuhan pertama Dennis Rader

Pada tahun 1973, Dennis telah dibuang kerja tak lama selepas dia membunuh mangsanya yang pertama pada 15 Januari 1974.

Ketika Paula sedang tidur, Dennis telah memecah masuk rumah keluarga Otero dan membunuh setiap orang di dalam rumah tersebut.

Lebih teruk lagi, anak-anak pasangan Otero, Josie dan Joseph yang berusia 11 dan 9 tahun ini dipaksa tengok Dennis mencekik ibu bapa mereka hingga mati.

Dennis kemudiannya menyeret Josie ke bawah rumah dan membuka seluar dalam kanak-kanak perempuan sebelum menggantungnya di alang rumah.

Dennis kemudiannya melihat kanak-kanak ini mati tercekik sambil onani. Dia kemudiannya mengambil gambar empat mayat ini dan beberapa seluar dalam Josie sebagai kenangan pembunuhan pertamanya.

Dennis kemudiannya pulang ke rumah bersiap-sedia untuk ke gereja bagi menjalankan tugas sebagai presiden.

Modus operandi BTK Killer

Dennis Rader mempunyai beg yang mengandungi pelbagai alatan yang digunakan untuk pembunuhan seperti, pisau, pistol, pita pelekat, tali, topeng dan gari.

Seperti latihan yang dibuat ke atas dirinya dan haiwan-haiwan yang pernah dia bunuh dan seksa ketika remaja, Dennis akan mengikat dan menyeksa mangsa sebelum membunuhnya.

Dia akan mencekik atau menjerut menggunakan tali atau tangannya sendiri hingga mangsa pengsan dan tunggu sehingga mangsa sedar semula.

Selepas mangsa sedar, dia akan cekik semula mangsa sehingga mati kerana dia merasakan kepuasan seksual apabila dia menyaksikan mangsanya meronta untuk terus hidup.

Dennis juga akan beronani ke atas badan atau pakaian mangsa sewaktu atau selepas pembunuhan dilakukan.

Isteri Dennis Rader, Paula Dietz

Beberapa bulan selepas anak lelaki Oteros berusia 15 tahun menemui keluarganya mati dalam keadaan mengerikan di rumahnya, Dennis beralih ke mangsa seterusnya.

Dennis telah mengintip dan tunggu di apartment seorang pelajar kolej bernama Kathryn Bright sebelum dia menikam dan mencekik gadis malang ini. Dennis kemudiannya menembak abang Kathryn, Kevin dua kali namun lelaki tersebut selamat.

Paula sedang mengandung anak pertama mereka ketika suaminya mula menayangkan jenayahnya secara terang-terangan.

Dennis telah menulis secara detail tentang pembunuhan keluarga Otero di dalam sepucuk surat yang disembunyikan di dalam sebuah buku di Perpustakaan Awam Wichita sebelum dia membuat panggilan kepada akhbar tempatan untuk beritahu di mana mereka boleh temui pengakuannya.

Dalam surat tersebut, Dennis beritahu dia berminat untuk membunuh lagi dan mengenalkan dirinya sebagai BTK yang membawa maksud Ikat, Seksa dan Bunuh (Bind, Torture and Kill) sebagai metod pembunuhannya.

Sebelum Dennis membunuh mangsanya yang ke-7, Shirley Vian hingga mati sambil anak lelaki wanita ini tengok dari lubang pintu, Paula menemui satu puisi bertajuk Shirley Locks.

Jangan menjerit, tapi baring atas kusyen dan fikirkan tentang aku dan mati.”

Paula tak pernah tanya Denis tentang puisi tersebut. Dia pun tak cakap apa-apa bila suaminya tandakan artikel tentang BTK Killer di surat khabar.

Bukan tu je, Paula juga perasan ejaan dalam surat dari BTK Killer sama dengan cara suaminya mengeja dalam surat yang dia dapat dari Dennis. Dia hanya cakap, “Awak mengeja macam BTK.”

Paula juga turut diamkan diri bila dia nampak kotak berkunci yang suaminya simpan di rumah. Kalau dia terlintas nak tengok apa ada dalam kotak tersebut, confirm Paula akan jumpa sagu hati yang Dennis simpan untuk pembunuhan dia termasuk gambar-gambar dia berpakaian seperti mangsanya dan ikat dirinya sendiri.

Pun begitu, Paula tetap menegaskan yang Dennis merupakan seorang lelaki yang baik, bapa yang hebat dan tak akan cederakan sesiapa.

Penangkapan Dennis Rader

Pada 19 Januari 1991, Dennis melakukan pembunuhannya yang ke-10 dan yang terakhir. Dia telah membunuh seorang wanita berusia 62 tahun, Dolores Davis yang tinggal hanya beberapa kilometer saja dari rumah keluarganya.

Selepas 13 tahun menyepikan diri, Dennis terlihat berita dalam akhbar tempatan mengungkap kembali ulangtahun ke-30 pembunuhan keluarga Ortero.

Berita ini membuatkan Dennis teringin untuk naikkan semula nama BTK. Pada tahun 2004, lelaki ini telah menghantar berpucuk-pucuk surat kepada media dan pihak polis serta beberapa sagu hati yang dia ambil dari mangsa-mangsanya. Dia juga turut mencadangkan media untuk membuat novel tentang dirinya.

Keinginannya untuk menjadi terkenal telah memakan diri. Dennis telah menghantar satu surat dalam disket, dari situ, pihak polis dapat mengesan metadata kandungan yang telah dipadamkan sebelum surat tersebut dimasukkan.

Kandungan tersebut merupakan dokumen untuk Gereja Christ Lutheran yang disahkan oleh presidennya, Dennis Rader.

Pihak polis kemudiannya mengambil sampel DNA dari bawah kuku salah seorang mangsanya dan bandingkan dengan DNA anak perempuan Dennis dan mereka dapati ianya sepadan.

Pada 25 Februari 2005, Dennis akhirnya ditahan di rumahnya di hadapan ahli keluarganya. Lelaki ini cuba untuk kekal tenang dan sempat memeluk anaknya dan berjanji yang semuanya akan kembali normal.

Namun, ketika berada di dalam kereta polis, Dennis tak cuba untuk sorokkan dirinya yang sebenar.

Kerana personalitinya yang tampak baik, ramai yang tak percaya dan terkejut dengan penangkapan tersebut.

Namun dengan bukti kukuh, pada 27 Jun 2005, lelaki ini kemudiannya mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Ketika perbicaraan, Dennis menceritakan segala pembunuhan dia dengan perasaan penuh keseronokan dan tak menunjukkan rasa kesal.

Dennis dihukum penjara selama 175 tahun tanpa parol. Dia tak menerima hukuman mati kerana ketika pembunuhan-pembunuhan ini berlaku, Kansas belum melaksanakan hukuman mati.

Apabila perkara sebenar tentang Dennis terbongkar, Paula tak lagi mahu jejakkan kaki ke rumah mereka dan terus ceraikan lelaki ini selepas dia membuat pengakuan jenayahnya.

Manakala anak-anak Dennis perlu terus hidup dengan mengakui bapa yang mereka sanjung selama ini adalah pembunuh yang kejam.

 

Sumber: ati

 

Baca: The Night Stalker: Richard Ramirez, Pembunuh Bersiri Paling Gila Pilih Mangsa Secara Rawak

Ditulis oleh Nadia Ghafar

Pendengar setia Willie Nelson