Membawa ahli keluarga tersayang melancong ke luar negara pastinya menjadi impian ramai, namun kekangan kewangan sering kali menjadi penghalang.
Bagaimanapun, halangan itu tidak menyurutkan semangat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Thailand apabila dia membuktikan bahawa kasih sayang dan tekad yang tinggi mampu mengatasi segala rintangan.
Remaja yang dikenali sebagai Queue (kollawat_2626) di Instagram telah mencuri perhatian ramai selepas berkongsi kisah perjalanannya membawa datuknya melancong ke Singapura buat kali pertama dengan jarak perjalanan sejauh 2,000 kilometer (km).
Artikel berkaitan: Warganet Terharu Tengok ‘Effort’ Abang Grab, Nyanyikan Lagu Hari Jadi Buat Anak Buah Pelanggan Yang Tempah Makanan
Artikel berkaitan: “Kepada tunang, terima kasih kerana sentiasa bersama” – Bella Astillah Terharu Syed Saddiq Sambut Hari Jadi Anak
“Sebagai seorang anak muda berusia 16 tahun yang bukan berasal daripada keluarga senang, saya membawa datuk saya dalam perjalanan kereta api sejauh 2,000 km ke Singapura buat kali pertama,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Demi memastikan impian itu tercapai mengikut bajet mereka, Queue dan datuknya memilih laluan darat dengan menggunakan pengangkutan awam termurah merentas Thailand, Malaysia dan Singapura.
Perjalanan mereka bermula dari wilayah Nakhon Pathom menuju ke daerah Su-ngai Kolok di Narathiwat, sebelum melintasi sempadan darat ke Malaysia. Mereka menaiki kereta api kelas ketiga yang merupakan pilihan paling murah.
Dari situ, mereka menaiki bas ke Stesen Kereta Api Pasir Mas di Kelantan, sebelum membelanjakan sekitar 390 baht (RM50) seorang bagi tiket kereta api menuju ke Johor Bahru. Setibanya di sana, mereka merentasi Tambak Johor ke Singapura dengan menaiki bas yang hanya berharga 50 baht (RM6.40) setiap seorang.
“Saya bergerak dengan kereta api dari Kanchanaburi ke Singapura tanpa menaiki kapal terbang. Pada usia 16 tahun, saya benar-benar berjaya melakukannya. Semua rasa penat itu terus hilang,” luahnya gembira.
Menginap di JB Demi Jimat Kos
Bagi mengurangkan kos penginapan yang tinggi di Singapura, pasangan cucu dan datuk itu mengambil keputusan untuk menginap di Johor Bahru pada kadar sekitar 2,000 baht semalam. Menurut Queue, kos penginapan mereka turut dibantu oleh seorang individu yang dianggapnya seperti abang kandung.
Setibanya di Singapura, Queue sempat membawa datuknya melawat mercu tanda ikonik negara seberang jiran itu, Merlion Park, serta mengabadikan kenangan bersama sebagai kenang-kenangan.
Perkongsian berharga itu dengan pantas menjadi tular sehingga meraih lebih 792,000 tanda suka dan 4,000 komen daripada pengguna media sosial yang terharu dengan bakti remaja berkenaan.
Rata-rata warganet memuji keberanian, kesabaran, serta kesungguhan Queue yang begitu mengutamakan kebahagiaan datuknya walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dan memenatkan.
