in

Dapur Digital: Kuasa Ekonomi Wanita Bandar Bangkit Melalui Koperasi

ft kuskop

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, mencadangkan agar inisiatif Dapur Digital diinstitusikan sebagai sebuah koperasi bagi memastikan kelestarian dan kemampanan perusahaan sosial ini.

Beliau menyatakan bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersedia untuk membantu merealisasikan cadangan tersebut.


Menurut Datuk Ewon lagi, terdapat keperluan untuk menginstitusikan Dapur Digital agar lebih banyak sokongan dan bantuan dapat disalurkan kepada inisiatif ini dan Dapur Digital Kampung Limau disarankan untuk menjadi projek perintis bagi penubuhan Koperasi Dapur Digital, yang kemudiannya akan berperanan sebagai mentor kepada Dapur Digital yang lain.

533093664 18280412935279672 4524619244750666275 n

Cadangan tersebut disampaikan semasa beliau merasmikan Dapur Digital Kampung Limau baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dapur Digital adalah sebuah inisiatif perusahaan sosial yang dimulakan oleh Pepper Labs untuk menggerakkan keusahawanan wanita di kawasan perumahan bandar di sekitar Kuala Lumpur dengan matlamatnya adalah untuk membina ekonomi kendiri secara berkelompok dengan menggunakan pendigitalan dalam tadbir urus perusahaan, khususnya dalam aspek pemasaran.

Setakat ini, sebanyak 15 Dapur Digital telah dibangunkan di sekitar Lembah Klang pada tahun lalu dan tahun ini, termasuk di Lembah Pantai, Wangsa Maju, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputeh, dan Titiwangsa.

534705882 18280413007279672 7240177816532363883 n

Inisiatif ini telah menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan. Lima projek rintis Dapur Digital yang dilaksanakan sepanjang 2024 telah mencapai jualan kumulatif melebihi RM1.2 juta sehingga Jun 2025.

Datuk Ewon menekankan bahawa Dapur Digital bukan sekadar projek pembangunan, tetapi juga merupakan simbol harapan untuk golongan B40, terutamanya ibu tunggal, belia, dan suri rumah. Mereka dapat menjana pendapatan melalui kemahiran memasak yang disokong oleh teknologi digital dan platform e-dagang. Kejayaan ini membuktikan bahawa rakyat mampu mencipta kejayaan apabila diberi ruang, peluang, dan bimbingan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan peruntukan tambahan untuk membina 25 lagi Dapur Digital di seluruh negara dalam Belanjawan 2025. Selain itu, KUSKOP juga melaksanakan pelbagai inisiatif lain untuk memperkasakan usahawan mikro dan golongan berpendapatan rendah, seperti BizME (SME Corp. Malaysia), RAKYATpreneur 6.0 (Bank Rakyat), program latihan oleh INSKEN, Be Your Own Boss (PERNAS), Skim Pembiayaan Ikhtiar (AIM), dan MySMELady 2.0 (SME Bank).

Artikel berkaitan : Sektor Koperasi Bukti Keupayaan, Catat Nilai Perolehan Cecah 70 Bilion!

Artikel berkaitan : Perasmian Wisma CBP, Lambang Kejayaan & Pengukuhan Ekonomi Rakyat Melalui Gerakan Koperasi

Sinergi antara sektor awam dan swasta juga menjadi kunci kepada kemampanan Dapur Digital. Kerjasama telah dijalinkan dengan syarikat swasta seperti Maxis, Brahim’s, Media Prima, dan PPB Group. Kerjasama ini melibatkan sokongan dalam latihan digital, pembekalan produk makanan, penjenamaan, dan sumbangan peralatan industri bakeri.

Datuk Ewon percaya sinergi ini akan memastikan Dapur Digital terus berdaya saing dan mampan, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan mikro digital yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara dan merapatkan jurang digital, selaras dengan aspirasi MyDIGITAL.

Dengan sokongan daripada kerajaan, sektor swasta, NGO, dan masyarakat, beliau yakin Dapur Digital mampu menjadi simbol keupayaan rakyat Malaysia untuk berdikari, bersaing, dan berjaya dalam landskap ekonomi digital masa hadapan.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.