Polis Thailand telah mengesahkan kes seorang lelaki rakyat Malaysia yang maut ditembak di pekan Sungai Golok pada 1 November lepas, tidak membabitkan isu hutang berkait dadah.
Menurut Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, sebaliknya pembunuhan tersebut dipercayai berpunca daripada pertengkaran mengenai hutang berkaitan perniagaan pakaian.

Mangsa berusia 33 tahun katanya disyaki dibunuh selepas gagal melangsaikan hutang mencecah ribuan ringgit kepada suspek yang juga bekas pemain bola sepak Kelantan.
Mangsa yang berasal dari Pasir Mas, dipercayai enggan membayar hutang kepada suspek sejak tahun lalu.
“Berdasarkan hasil siasatan kami, suspek berusia 31 tahun itu mengaku dia dan mangsa sudah beberapa kali bergaduh berhubung isu terbabit.
“Pertengkaran mereka bermula sejak tahun lalu tetapi dikatakan berjaya diselesaikan oleh rakan-rakan dan saudara-mara sebelum ini,” katanya.
Artikel berkaitan: Polis Thailand Tak Tolak Kes T*mbak Di Sungai Golok Berkaitan Dendam Lama, Suspek Pernah Terima 120 Jahitan
Artikel berkaitan: Polis Sahkan Bekas Pemain Bola Sepak Kelantan Suspek Kes Temb*kan Di Golok
Menurut Prayong, pergaduhan ketiga walau bagaimanapun berlaku pada awal bulan ini yang mana suspek mengaku menembak mangsa berulang kali selepas mangsa sekali lagi enggan bayar hutangnya.
Justeru, berdasarkan hasil siasatan setakat ini, polis Thailand telah menolak dakwaan bahawa insiden pembunuhan ini ada kaitan dengan dadah.

Dalam pada itu, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini ditahan di penjara Narathiwat.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, meninggal dunia selepas ditembak lapan kali dalam satu pertengkaran yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang pada 1 November lalu.
Susulan itu, polis Thailand telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang menyerah diri di balai polis pada 2 November, dan menyita dua pucuk pistol daripada suspek.
Sumber: Berita Harian
