in

“Boleh ke macam tu?” – 5 Negara Ini Rupanya Tak Pernah Sambut Hari Kebangsaan

Untitled design 7

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Di negara Malaysia, 31 Ogos sudah sinonim dengan suasana meriah. Sambutan besar-besaran diadakan sama ada di Putrajaya atau di setiap negeri, memastikan hari bersejarah ini diraikan di seluruh negara. Tarikh ini seakan menjadi janji bahawa semangat patriotik akan terus disemarakkan setiap tahun.

Namun begitu, rupanya tidak semua negara di dunia mempunyai tradisi menyambut Hari Kebangsaan mereka. Ada yang langsung tidak pernah mengisytiharkan hari kebangsaan mereka sendiri, meskipun sudah menjadi sebuah negara beratus tahun lamanya.


Boleh ke macam tu?

Jawapannya, boleh! Ada negara yang terbentuk melalui cara yang berbeza seperti penyatuan sukarela, pemerintahan berjaya yang berterusan atau perjanjian politik. Oleh itu, mereka tidak menetapkan satu tarikh yang khusus untuk disambut sebagai Hari Kebangsaan.

Selain itu, ada juga negara yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa asing. Disebabkan tidak mengalami proses kemerdekaan daripada penjajahan, maka mereka pun tidak ada tarikh rasmi untuk meraikan Hari Kebangsaan.

Namun, tidak semua sambutan Hari Kebangsaan lahir daripada detik kemerdekaan daripada penjajah. Ada juga negara yang memperingati tarikh pemisahan politik sebagai titik bermula mereka sebagai negara berdaulat. Contohnya, Singapura menyambut 9 Ogos sebagai hari ia berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, manakala Slovakia meraikan 1 Januari 1993 sebagai tarikh pembentukan republik selepas perpecahan Czechoslovakia (Velvet Divorce).

Pendek kata, sambutan Hari Kebangsaan di kebanyakan negara berpunca daripada peristiwa penting yang menandakan lahirnya negara tersebut, sama ada melalui kemerdekaan, pembentukan semula atau pemisahan politik.

Mari kita kenali kelima-lima negara yang tidak menyambut Hari Kebangsaan.

1. United Kingdom 

uk flag

Negara United Kingdom ini tidak pernah menyambut Hari Kebangsaan mahupun Hari Kemerdekaan kerana penubuhan negaranya tidak melalui proses pembebasan daripada penjajah. Hal ini kerana, negara mereka sendiri adalah merupakan kuasa penjajah utama menyebabkan tidak pernah ‘merdeka’ daripada kuasa luar.

Negara ini terbentuk melalui siri penyatuan politik antara England, Scotland, Wales dan Ireland Utara sejak abad ke-18, menjadikan tiada satu tarikh rasmi yang boleh dianggap sebagai Hari Kebangsaan negara tersebut.

Sebaliknya, setiap wilayah dalam gabungan ini meraikan hari istimewa masing-masing seperti St. George’s Day (England), St. David’s Day (Wales), St. Andrew’s Day (Scotland) dan St. Patrick’s Day (Ireland Utara). Sambutan ini hanya untuk mencerminkan identiti wilayah masing-masing sahaja dan tidak melibatkan keseluruhan United Kingdom.

Pernah juga timbul cadangan untuk mewujudkan satu tarikh rasmi untuk Hari Kebangsaan yang menyatukan semua rakyat, tapi usaha ini gagal mencapai kata sepakat. Perbezaan pandangan antara wilayah dan ketiadaan peristiwa sejarah tunggal menjadi penghalang utama kepada pelaksanaannya.

2. Nepal 

nepal flag

Walaupun kecil di peta dunia, Nepal merupakan antara negara yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa asing. Negara ini, yang terletak di antara China dan India, berjaya mengekalkan sistem pemerintahannya sendiri sejak ditubuhkan pada 21 Disember 1768.

Namun, negara ini tidak terlepas daripada sejarah konflik bersama kuasa penjajah. British pernah cuba menguasai Nepal setelah menawan hampir seluruh India pada abad ke-19. Percubaan itu berjaya dihalang oleh kerajaan tempatan, sekali gus mencetuskan peperangan antara dua kuasa tersebut.

Perang Inggeris-Nepal (1814–1816) membawa kepada termeterainya Perjanjian Sugauli. Meskipun Nepal kehilangan sebahagian wilayahnya, negara itu tetap berjaya mempertahankan kedaulatannya dan tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa asing.

Sejak itu, hubungan diplomatik antara Nepal dan British terus terjalin. Malah, tentera Gurkha Nepal masih menjadi sebahagian daripada pasukan tentera British sehingga kini. Oleh sebab itu, Nepal tidak pernah melalui proses kemerdekaan, sekali gus tidak menetapkan tarikh rasmi untuk menyambut Hari Kebangsaan.

3. Denmark 

denmark flag

Denmark pula merupakan antara negara Barat yang juga tidak pernah dijajah oleh kuasa asing, dan kerana itu ia tidak mempunyai tarikh rasmi untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

Namun, negara ini mempunyai satu tarikh istimewa yang dikenali sebagai Hari Perlembagaan (Grundlovsdag) yang disambut pada setiap 5 Jun.

Hari Perlembagaan ini memperingati pengisytiharan perlembagaan pertama Denmark pada tahun 1849, yang menjadi titik penting dalam mengubah sistem pemerintahan negara itu. Walaupun ia membawa makna nasional yang besar, sambutannya tidaklah semeriah Hari Kebangsaan di negara lain.

Difahamkan bahawa Hari Perlembagaan ini lebih bersifat sebagai sejarah politik berbanding identiti kepada kemerdekaan. Negara ini juga sudah lama berdiri sebagai sebuah monarki yang kuat dan tidak pernah melalui proses pembebasan daripada penjajahan.

Oleh itu, penyambutan Hari Perlembagaan ini tidak dianggap sebagai Hari Kebangsaan yang rasmi seperti kebanyakan negara lain.

4. Norway 

norway flag

Begitu juga dengan Norway! Pada 17 Mei, negara Norway akan menyambut Hari Perlembagaan meskipun tidak mempunyai kaitan dengan kemerdekaan daripada penjajahan.

Perlembagaan ini diluluskan secara sebulat suara oleh Eidsvoll Assembly pada 16 Mei 1814 dan ditandatangani keesokan harinya. Namun, Norway yang pada ketika itu berada dalam kesatuan dengan Sweden telah menyebabkan Raja Karl Johan mengharamkan sambutan tersebut dari 1820 hingga 1829.

Pada tahun 1833, seorang penyair terkenal bernama Henrik Wergeland memberikan ucapan awam pertamanya bagi memperingati hari bersejarah itu, dan ia mendapat sambutan hangat daripada rakyat Norway. Menjelang 1870, sambutan Hari Perlembagaan menjadi lebih rasmi dengan perarakan kanak-kanak yang diadakan di Christiania (kini dikenali sebagai Oslo). Lagu kebangsaan Norway pula diilhamkan oleh penulis terkenal, Bjørnstjerne Bjørnson.

Kini, sambutan Hari Perlembagaan di Norway diraikan secara meriah di seluruh negara dengan perarakan besar-besaran, termasuk penyertaan sehingga 100 sekolah, dan ia turut disiarkan secara langsung di televisyen nasional.

Justeru itu, rakyat Norway lebih meraikannya dalam suasana penuh pesta, berbeza dengan Denmark di mana majoriti rakyat hanya menganggap Hari Perlembagaan sebagai cuti umum sahaja.

5. Iran 

iran flag

Iran juga merupakan antara negara yang tidak menyambut Hari Kemerdekaan kerana tidak pernah dijajah secara rasmi oleh kuasa asing. Namun, negara ini juga tidak menetapkan tarikh rasmi untuk menyambut Hari Kebangsaan.

Hal ini kerana Iran hanya melalui peralihan pemerintahan besar pada tahun 1979 apabila sistem monarki digantikan dengan Republik Islam melalui referendum yang diadakan pada 1 April 1979. Tarikh ini disambut sebagai Hari Republik Islam, menandakan perubahan struktur pemerintahan dan bukannya pembebasan daripada penjajahan.

Sambutan ini lebih bersifat politik berbanding patriotik kerana menumpukan kepada penubuhan semula negara berasaskan ideologi Islam serta kejayaan menumbangkan monarki, bukannya memperingati perjuangan kemerdekaan seperti kebanyakan negara lain. Keadaan ini menjadikan Iran unik kerana identiti nasionalnya dibentuk melalui perubahan ideologi, bukan melalui detik pembebasan daripada kuasa asing.

Fenomena negara yang tidak menyambut Hari Kebangsaan menunjukkan bahawa konsep patriotisme boleh diterjemahkan dalam pelbagai cara. Bagi sesetengah negara, sejarah mereka lebih menekankan perubahan politik, pembentukan identiti nasional atau sistem pemerintahan berbanding detik pembebasan daripada penjajahan.

Ini membuktikan bahawa Hari Kebangsaan bukanlah satu-satunya ukuran jati diri sesebuah negara. Apa yang lebih penting ialah bagaimana rakyat mengekalkan rasa bangga dan kesetiaan terhadap negara mereka, walau dengan cara sambutan yang berbeza.

Sumber: EBSCO, Siakap Keli, Iluminasi, Vocket, Brookings, VisitNorway

 

 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.