Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal menyediakan kemudahan pengecualian (opt-out) secara dalam talian bermula Isnin ini bagi pekerja tempatan yang tidak berhasrat meneruskan caruman di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan bahawa tindakan ini diambil bagi melaksanakan keputusan Jemaah Menteri yang menukar status skim tersebut kepada pilihan sukarela bagi tenaga kerja tempatan, manakala pelaksanaannya kekal wajib untuk pekerja asing.

Bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) jika berlaku kemalangan di luar waktu bekerja, mana-mana pencarum yang memilih untuk bercerai daripada skim ini perlu menandatangani perakuan pelepasan liabiliti.
Artikel berkaitan: Caruman Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO Kini Bersifat Sukarela Bagi Pekerja Tempatan Tetapi Kekal Mandatori Untuk Pekerja Asing
Artikel berkaitan: Perluasan Perlindungan 24 Jam Untuk Lebih 9 Juta Pekerja, Berkuatkuasa Mulai 1 Jun 2026
Berdasarkan data statistik rasmi setakat 9 Julai 2026, skim perlindungan ini merekodkan pendaftaran daripada 207,000 majikan yang melibatkan seramai 2.27 juta pekerja secara keseluruhan. Jumlah tenaga kerja tersebut merangkumi:
- 1.92 juta pekerja tempatan
- 307,000 pekerja asing

Sepanjang tempoh pelaksanaannya, jumlah dana caruman yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM58 juta dengan merekodkan sebanyak 1,056 kes tuntutan.
Walaupun proses pengecualian telah dibuka, PERKESO tetap menyarankan golongan pekerja tempatan untuk mengekalkan caruman ini sebagai benteng perlindungan kewangan waris dan keluarga sekiranya berlaku musibah di luar waktu tugas.

Sejak dikuatkuasakan dalam tempoh sebulan, skim ini mencatatkan purata 29 kes setiap hari dengan pengagihan dana bantuan mencecah hampir RM2 juta sebulan.
Disebabkan perubahan dasar ini dijangka memberi kesan terhadap kemampanan dana jangka panjang, satu kajian semula struktur skim bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan dijalankan menjelang akhir tahun ini.
Sumber: PERKESO
