Ibu bapa kepada dua kanak-kanak yang dilaporkan meninggal dunia akibat lemas selepas kereta yang mereka naiki menggelongsor masuk ke Sungai Linggi, Tanjung Agas semalam telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun dan wanita berumur 41 tahun telah ditahan selepas mereka didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian itu.
Lebih mengejutkan, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita pula tidak mempunyai sebarang rekod.
Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta digunakan mendapati ia merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Artikel berkaitan: Dua Kanak-kanak Dikhuatiri Lemas Di Teluk Kemang Selepas Kereta Terjatuh Dalam Sungai
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222 atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden, Husairin Che Hussin di talian 012-965 4927 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dilaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun ditemui mati lemas selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapa mereka terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, kereta itu diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan sementara bapa mangsa dikatakan keluar sebentar untuk merokok.
Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kereta itu dan lemas, manakala ibu mangsa yang turut berada di dalam kenderaan yang sama sempat diselamatkan oleh orang awam.
Sumber: Sinar Harian