Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah tidak dapat menahan sebak lalu membuat sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.
Memetik laporan Astro Awani, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian terhadap pengasas Bapakku FM itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.
Sebelum ini Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah bilik tingkat atas kediamannya iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.
Bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi KL daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lepas.
?Nur Aimidiyana Zuher| BERNAMA pic.twitter.com/xvyBnlHFgF
— BERNAMA (@bernamadotcom) July 17, 2023
Tertuduh menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan DJ dan krew stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk on air selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.
Menurutnya bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur digunakan oleh para DJ untuk berehat, bersolat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.
Isteri tertuduh turut mendakwa kali terakhir bilik itu dikemas ialah pada 1 Ogos 2021 dan dia tidak memasukinya selepas itu sehingga penangkapan suaminya pada 27 Ogos.
Sebelum ini, Ismahalil didakwa buat kali pertama pada 6 September 2021 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan berkenaan. Namun mengaku tidak bersalah pada 21 Februari tahun lalu atas pertuduhan terbabit.