Tak tercapai dek akal, apabila seorang bapa tergamak merogol dua orang anak kandungnya sejak enam tahun lalu sehinggakan salah seorang daripada mereka hamil.
Menurut laporan Harian Metro, suspek dipercayai melakukan perkara terkutuk itu ketika anak-anaknya berusia 12 dan 15 tahun sejak 2017 di sebuah rumah di Jeram, Muar.
Lebih mengejutkan, bapa durjana itu merogol salah seorang daripada dua beradik itu sejak dia berusia 9 tahun, kejadian terakhir seperti itu berlaku pada awal bulan ini.
Kedua-dua adik beradik itu dikatakan tidak berani menceritakan kepada sesiapa berkenaan kejadian itu, sehinggalah perbuatan keji bapanya itu terbongkar sejurus mangsa yang berusia 15 tahun mengadu sakit dada.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata ketika mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sebenarnya sedang hamil.
“Suspek direman seminggu bermula semalam. Polis sedang merekodkan keterangan mangsa untuk melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau turut berkata berikutan kes itu, satu laporan telah dibuat dan suspek telah pun ditangkap untuk siasatan lanjut.
Baca: Polis Berpangkat Konstabel Ditahan, Disyaki Cuba Rogol Remaja 19 Tahun Di Stesen Minyak