Semalam, hujan yang berterusan di Baling, Kedah menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah ini, difahamkan sekurang-kurangnya 20 buah rumah penduduk di situ mengalami kerosakan.
Tragedi banjir di Kupang, Baling Kedah. #banjir #PrayForBaling pic.twitter.com/amX3LfLwdF
— Mimi Anuary (@AnuaryMimi) July 5, 2022
Kejadian tersebut menyebabkan tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun disahkan hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi di kawasan Baling.
Menurut laporan Astro AWANI, setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim, dalam perkongsian menerusi Facebook miliknya Isnin malam, berkata semua mereka belum ditemui sehingga kini.
Sebelum ini, pasukan penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba menumpukan usaha pemindahan dan mengesan mangsa terperangkap dalam banjir melibatkan 11 kampung di daerah itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata kampung terbabit terletak berhampiran Sungai Kupang.
Difahamkan, antara kampung terlibat ialah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang.