Bagaimana agaknya perasaan ibu bapa bila melihat anak tidak bernyawa di depan mata, lebih-lebih lagi anak yang ‘pergi’ itu baru sebulan lahir ke dunia.
Namun itu yang perlu dilalui pasangan ini apabila bayi lelaki mereka yang baru berusia satu bulan ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dan dipercayai akibat lemas, lapor Kosmo.
Dalam kejadian pukul 6 pagi di dalam bilik rumah teres dua tingkat di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah, Iskandar Puteri Johor, mangsa Aaron Hidayat Abdullah ditemui tidak bernyawa oleh ibunya yang ketika itu baru pulang dari tempat kerja.
Ketika kejadian, dipercayai si bapa sedang nyenyak tidur di bahagian ruang tamu rumah manakala mangsa iaitu anaknya tidur di bilik tingkat atas sendirian.
Selepas ibu mangsa pulang daripada kerja terus melihat anaknya namun anak lelaki mereka sudah tidak bernyawa dalam keadaan tertiarap dan mulutnya sudah kebiruan.”– Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri
Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita itu kemudiannya mengejutkan suaminya sebelum membawa anak mereka ke Klinik Kesihatan Gelang Patah dan disahkan sudah meninggal dunia.
Beliau memaklumkan hasil siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai masalah kesihatan malah pihaknya juga pasti tiada sebarang unsur jenayah serta khianat ke atas bayi tersebut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Malang memang tak berbau, tapi sebagai ibu bapa inilah tanggungjawab dan cabaran kita untuk memastikan anak-anak sentiasa dalam keadaan selamat.