Sebelum ini, kecoh mengenai kes enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh rakan universiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain. Allahyarham Zulfarhan menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Jun 2017.
Terbaru, menurut Bernama, tertuduh pertama dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa dia telah menekap bahagian tapak kaki dan lutut mangsa menggunakan seterika wap.
Muhammad Akmal Zuhairi, 23, turut mengakui bahawa Zulfarhan menjerit kesakitan, setiap kali beliau ditekap dengan seterika wap dan mangsa juga tidak melawan.
Tertuduh berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim semasa prosiding membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Bagaimamapun dia tidak bersetuju dengan cadangan Julia, bahawa dia bukan hanya menekap seterika wap di dua bahagian itu, malah juga di bahagian lain.
Ketika ditanya samada dia hanya menyapu losyen gamat pada luka yang dialami Zulfarhan sepanjang 23 hingga 26 Mei 2017, tertuduh berkata “Ya”.
“Saya ada bawak Zulfarhan ke Klinik”
Katanya dia telah membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi pada 27 Mei 2017, namun tidak membawanya ke Klinik UPNM, kerana ketika itu cuti semester.
“Semasa di klinik itu, saya, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem Mohd Ali (dua tertuduh) masuk sekali ke dalam bilik rawatan. Tiada surat daripada doktor untuk rujuk Zulfarhan ke hospital,” katanya.
Ketika ditanya Julia mengenai terdapat 90 kesan Zulfarhan dicucuh seterika dan dikatakan dia telah mencucuh Zulfarhan dengan seterika wap sebanyak 18 kali, Muhammad Akmal berkata “Tidak setuju”.
Tertuduh pertama juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa selain dirinya, empat lagi tertuduh lain iaitu Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri juga menekap Zulfarhan, menggunakan seterika berkali-kali secara bergilir-gilir.
Julia: “Sepanjang Zulfarhan dicucuh dengan seterika, adakah kamu cuba untuk menghentikan perbuatan itu.”
Muhammad Akmal: “Tidak hentikan.”
Tertuduh juga mengakui sebagai pegawai kadet dan pelajar universiti itu, tindakan yang dilakukannya itu salah dan tidak mengikut undang-undang.
“Biasanya UPNM tak ambil tindakan”
Muhammad Akmal berkata selepas Zulfarhan mengaku bahawa dia mengambil komputer riba dan memohon maaf serta meminta sedikit masa untuk mengganti semula barangan tersebut, dia tidak membuat laporan kepada pihak atasan.
Julia: “Saya katakan kamu tak buat laporan sebab kamu tahu perbuatan kamu memukul Zulfarhan adalah salah dan akan diambil tindakan.”
Muhammad Akmal: “Saya tak setuju. Kebiasaannya, di UPNM tak ada apa yang berlaku.”
Julia: “Jadi budaya disitu, pukul orang tak ada apa yang berlaku, curi komputer riba kena buang. Itu yang kamu maksudkan?”
Muhammad Akmal: “Ya Yang Arif.”
Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, Muhammad Akmal menjelaskan dia membawa Zulfarhan keluar dari UPNM untuk mendapatkan rawatan di klinik tersebut kerana ingin tahu keadaan luka di tubuh badan mangsa, sama ada terdapat jangkitan atau tidak.
Semasa disoal oleh Amer Hamzah adakah tertuduh ada memohon maaf kepada Zulfarhan dan bagaimana keadaan mangsa ketika itu, tertuduh menjawab dia ada meminta maaf kepada Zulfarhan kerana telah menggunakan seterika wap terhadap rakannya itu.
“Keadaan Zulfarhan ketika itu baik dan lukanya ada yang beransur pulih serta ada yang berair,” katanya.
Amer Hamzah: “Boleh jelaskan kenapa kamu tidak setuju dengan cadangan pendakwaan bahawa kamu dan rakan-rakan melakukan cucuhan menggunakan seterika berulang kali secara bergilir-gilir?”
Muhammad Akmal: “Sebab saya tak nampak mereka buat guna seterika. Selepas saya buat (tekap) saya pergi tandas dan keluar merokok.”
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, Universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.
Perbicaraan seterusnya bersambung di hadapan Hakim Azman pada hari ini.
Admin harap kes ni cepat selesai. Netizen pula kalau nak bagi komen pun jaga lah perasaan semua pihak.