Kit ujian kendiri pantas antigen COVID-19 buatan Malaysia akan dijual kepada orang awam pada 19 Julai ini, kata MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD).
Memetik laporan portal Berita Harian, kit tersebut yang digelar ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19’ merupakan yang pertama dihasilkan di Malaysia.
Menurut Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak, kit terbabit dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung. Difahamkan, kit itu hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan.
“Kewujudan antigen akan ditentukan melalui jalur berwarna merah jambu atau ungu pada kit. Sekiranya sampel tidak mempunyai antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna yang akan muncul, jadi, hasil ujian adalah negatif.
“Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna yang kelihatan pada kit mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tidak antigen SARS-CoV-2 dalam sampel,” katanya.
Menerusi hasil kajian, sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan kit ini dan keputusannya menunjukkan sensitiviti kit ini berada pada tahap 91.23 peratus. Ketepatannya pula difahamkan adalah 100 peratus.
Selain Malaysia, MeDKAD merancang untuk menembusi pasaran di negara lain di Asia, Asia Barat dan Eropah. Untuk info, Salixium juga digunakan secara meluas di Perancis, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutama sekali di Dubai.
Sumber: Berita Harian
Baca: WOW! Saintis India Cipta Alat Pengesan Covid-19 Mirip Ujian Kehamilan, Lagi Murah Dan Cepat