Viral di media sosial menunjukkan individu bersembunyi dalam boot kereta semasa mengharungi sekatan jalan raya hari ini, netizen beranggapan bahawa perbuatan itu adalah taktik baru untuk rentas negeri dan daerah.
Susulan dengan penularan itu, Sinar Harian melaporkan bahawa ia adalah cubaan seorang wanita menyembunyikan anak tirinya.
Nak pergi pasaraya beli barang
Dalam kejadian yang berlaku jam 5 petang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) semalam, wnaita berusia 35 tahun itu bersama rakan anak tirinya di dalam Proton Waja, mereka datang dari arah Butterworth menuju ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika pemeriksaan anggota polis mendapati wanita itu kelihatan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.
Ketika pemeriksaan di bahagian but belakang, mereka menemui anak tirinya berusia 14 tahun sedang baring menyembunyikan diri dan memberikan alasan tindakan itu hanya untuk elak daripada ditahan berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka memberi alasan mahu ke pasar raya untuk membeli pakaian. Bagaimanapun wanita berkenaan gagal menunjukkan permit pergerakan merentas daerah dan dikompaun kerana ingkar dengan SOP PKP,” katanya.
Shafee berkata, tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, manakala anak tiri dan rakannya diberikan amaran kerana masih di bawah umur.
Katanya, mereka juga telah diarahkan berpatah balik setelah tindakan kompaun diambil.