Zaman sekarang ni memang macam-macam cara orang lakukan untuk mencuri atau merompak. Ada yang sanggup menyamar jadi orang renovate rumah sebelum habis disapunya segala benda dalam rumah. Ada juga yang sampai satu keluarga bekerjasama jayakan aktiviti menyeluk saku. Macam-macam!
Terbaharu, polis di New Delhi, India telah menahan dua lelaki kerana melakukan aktiviti mencuri. Tapi, modus operandi mereka agak unik sebab mereka ni gunakan monyet untuk lakukan kerja terkutuk ni.
Lapor CNA, dua suspek ini diberkas polis lepas salah seorang mangsa buat laporan mengenai tiga orang lelaki yang membawa monyet. Dikhabarkan, mangsa telah dikepung sebelum dirompak sehingga kerugian sebanyak 6,000 Rupee (RM332).
Menurut pegawai polis tempatan, suspek akan masuk ke dalam lanca automatik bersama mangsa sebelum melakukan rompakan.
“Apabila mangsa duduk di dalam lanca automatik, suspek juga masuk dan akan suruh seekor monyet duduk di kerusi hadapan dan seekor lagi duduk di kerusi belakang. Mereka kemudiannya mencuri ‘wallet’ mangsa sebelum suspek melarikan diri bersama-sama monyet,” terangnya.
Polis India mengesyaki kumpulan terbabit adalah dalang disebalik beberapa kes rompakan sama. Satu pasukan khas polis telah ditubuhkan bagi menjejaki baki kumpulan ini.
Walau bagaimanapun, suspek ketiga yang turut terlibat dalam rompakan ini masih bebas. Manakala monyet-monyet yang ditahan bersama dua suspek lain telah dihantar ke pusat perlindungan haiwan.
Di India, sudah menjadi satu kebiasaan untuk monyet dilatih sebagai penghibur jalanan. Walau bagaimanapun, kes haiwan ini menyerang manusia adalah jarang berlaku.
Untuk info, pihak berkuasa di India memang sedang bergelut dengan ancaman monyet yang masuk ke rumah-rumah untuk mencari makanan di Delhi dan beberapa bandar lain.
Pun begitu, dibawah undang-undang 1972, ia adalah satu kesalahan untuk warga India menangkap haiwan ini.
Sementara itu, pada tahun lalu, sekumpulan monyet dilaporkan telah menyerang seorang pegawai medical dan merampas sampel darah pesakit yang positif COVID-19. Insiden itu difahamkan berlaku di Bandar Meerut di utara India.
Sumber: CNA
Baca: Monyet Serang Pekerja Makmal Dan Bawa Lari Sampel Ujian Covid-19