Penyeluk saku akan menggunakan pelbagai modus operandi untuk mencuri barangan orang lain. Kadang-kadang tu, mangsa tak perasan pun yang dompet dah dicuri. Memang licik cara penyeluk saku ni buat kerja.
Namun, lain pula taktik yang digunakan oleh pencuri di Surabaya, Indonesia ni sebab satu keluarga telah ditahan akibat disyaki jadi geng penyeluk saku, lapor Kompas.com.
Suspek yang hanya mahu dikenali dengan nama RDA (50 tahun) merupakan ketua keluarga manakala AY (41 tahun) pula merupakan seorang ibu. Anak mereka pula dikenali sebagai ORT (27 tahun).
Yang dahsyatnya lagi, untuk menjayakan operasi menyeluk saku, kesemua mereka ada peranan masing-masing. Ni dah macam kata-kata kartun Wonderpets. Apa yang penting? Kerjasama!
Menurut pihak polis, si ibu akan mengalihkan perhatian mangsa manakala suaminya pula akan memantau situasi. Si anak pula akan melemparkan dompet yang dicuri kepada kawan ibunya yang juga terlibat dalam perbuatan jenayah tersebut.
Kesemua mereka telah ditangkap setelah menyeluk saku di Pasar Pagi Tugu Pahlawan pada 24 Januari lalu. Pihak polis bergegas ke tempat kejadian lepas menerima laporan daripada mangsa, Ervi Ananda Ayu yang kehilangan telefon bimbit.
Bukan tu je, pak polisi juga telah menangkap geng penadah (orang yang menerima atau menjual beli barang-barang curian) dan menemui banyak barang hasil menyeluk saku.
Suspek juga mengaku kerap melakukan aktiviti jenayah itu di kawasan Surabaya Utara. Si ayah pula mengatakan dia mengajak keluarganya mencopet sebab tak ramai yang menggunakan perkhidmatannya sebagai pemandu teksi sejak kebelakangan ini.
Yang paling sedih, si ayah kata dorang terpaksa buat macam ni untuk beli makanan.
Baca: Pasangan Suami Isteri Dakwa Dipukau Penyeluk Saku Ketika Beli Belah di KLCC