Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah hari ini dilantik secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau.
Istiadat angkat sumpah itu berlangsung pada jam 4.08 petang dan disempurnakan dengan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Abu Bakar sebelum ini memegang portfolio Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis serta Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Perlis mencipta sejarah sebagai Menteri Besar pertama dari parti BERSATU.
Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletakkan jawatan pada Khamis lalu.

Artikel berkaitan: Siapakah Menteri Besar Perlis Baharu? Istiadat Angkat Sumpah Dijangka Berlangsung Tengah Hari Ini
Artikel berkaitan: Tertipu Dengan Iklan AI, Nenek Tua Dari Perlis Datang Nak Beli Ubat Mata Dengan Ustaz Wadi Annuar
Pada 25 Disember lalu, Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela berikutan masalah kesihatan, berkuat kuasa pada hari yang sama.
Mohd Shukri sebelum itu telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tengah hari.
Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu turut memaklumkan bahawa beliau diperkenankan menghadap baginda di Wad DiRaja Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi menyatakan hasrat berkenaan.
Sumber: Berita Harian
