Sukan SEA 2023 telah menjadi topik panas di seluruh Asia Tenggara, ekoran banyak kontroversi yang tiba-tiba timbul sepanjang sukan ini dijalankan.
Kalau korang nak tahu, salah satu keunikan Sukan SEA ini ialah tiada had nombor atau jenis sukan yang akan dipertandingkan. Bergantung kepada pihak tuan rumah dengan kelulusan dari Persekutuan Sukan Asia Tenggara. Ini bermakna, walaupun kebanyakan kategori sukan terkenal seperti badminton, bola sepak, renang dan sebagainya akan diadakan, ada juga sukan yang kurang dikenali akan diperkenalkan.
Namun begitu, ia juga akan mendatangkan masalah. Jika pihak tuan rumah boleh memilih acara sukan yang dipertandingkan, mesti berat sebelah punyakan? Jom tengok beberapa kontroversi yang berlaku pada Sukan SEA 2023 yang diadakan di Kemboja ini.
7 Kontroversi Sekitar Sukan SEA 2023 Ni Buat Ramai Geram?
1. Muay Thai ditukar dengan Kun Khmer
Walaupun Muay Thai dah dipertandingkan di Sukan SEA semenjak tahun 2019, tahun ini ia digantikan dengan sukan tinju versi Kemboja, Kun Khmer untuk pertama kalinya.
Perlawanan Kun Khmer ini biasanya akan bertahan sehingga lima pusingan dan setiap pusingan akan mengambil masa lebih kurang tiga minit. Peserta juga tidak dibenarkan menyerang pihak lawan yang terbaring di atas lantai, tak boleh gigit, pukul belakang kepala atau alat sulit, tak boleh tarik tali pinggang dan perlawanan akan berakhir bila seseorang peninju itu dah tak boleh nak teruskan perlawanan. Hm…
2. Catur antarabangsa ditukar dengan catur Kemboja
Tiada pingat yang akan diberikan kepada pertandingan catur di Sukan SEA tahun ini. Sebaliknya ia akan diberikan pada kategori “Ouk Chatrang” iaitu lawan catur versi Kemboja.
Menurut Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja, sukan ini diperkenalkan bagi mempromosikan budaya Kemboja kepada penonton luar negara.
3. Bendera terbalik ketika perarakan
Ketika perarakan Sukan SEA 2023 diadakan di acara pembukaan, bendera beberapa negara telah dipasang dalam keadaan terbalik membuatkan pihak tuan rumah terpaksa mengeluarkan surat permohonan maaf rasmi kepada kedutaan Indonesia, Vietnam dan Myanmar. Kalau satu tu boleh faham lagi, tapi kalau dah banyak macam ni memang betul tak buat research.
4. Pemain bola keranjang antarabangsa jadi wakil Kemboja?
Ketika sukan bola keranjang 3×3 diadakan, Kemboja telah meletakkan ketiga-tiga atlet dari Amerika Syarikat untuk mewakili negara mereka. Sayeed Pridgett, Brandon Peterson dan Darrin Dorsey telah memenangi acara pertama bola keranjang dengan mata sebanyak 21-18. Eh eh boleh pulak macamtu ya?
5. Kemboja hadkan penyertaan dalam Sukan SEA
Kemboja telah membuat keputusan untuk hadkan jumlah penyertaan bagi negara-negara yang turut serta dalam Sukan SEA tapi tak termasuk tuan rumah.
Contohnya, negara luar hanya boleh bertanding dalam 10 dari 15 acara karate manakala pihak tuan rumah boleh join semua. Dalam E-sukan pula, negara lain hanya boleh sertai maksimum 7 dari 10 acara tapi tuan rumah boleh join semua. Peraturan ini jelasnya tidak dipersetujui oleh negara-negara yang terlibat lebih-lebih lagi Filipina. Betul berat sebelah ni.
6. Indonesia tak dapat pingat gangsa
Di dalam acara merentas desa basikal bukit lelaki, Indonesia telah berjaya memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga. Namun begitu, mengikut peraturan Persekutuan Sukan Asia Tenggara, ia telah melarang sesuatu negara untuk merangkul kesemua pingat dalam satu acara.
Peraturan ini telah pun dibuat sejak 30 Mei, 2010 menyebabkan pemenang tempat ketiga Ihza Muhammad tidak dianugerahkan dengan pingat gangsa sebaliknya ia diberikan kepada peserta tempat keempat, Khim Menglong dari Kemboja.
7. Beberapa negara dilarang sertai acara beregu campuran badminton
Acara berpasukan lelaki dan wanita badminton telah disertai oleh Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, Vietnam dan Filipina.
Pun begitu, pihak tuan rumah telah memperkenalkan acara beregu campuran baharu yang hanya boleh disertai oleh Kemboja, Laos, Myanmar, Brunei dan Timor-Leste dan negara-negara yang kuat dalam acara ini tidak dibenarkan untuk sertai bagi memberi peluang untuk negara-negara ini memenangi pingat dalam acara badminton.
Sabajap, nanti Malaysia jadi tuan rumah kita tukar catur dengan dam aji. Negara lain siap!
Baca: Kemboja Didakwa Import Atlet Luar Demi Bolot Emas Sukan SEA