Kalau nak sarapan selalunya mamak lah yang diserbu lagi-lagi kalau nak makan roti canai. Roti canai dengan mamak ni macam dah sinonim rasanya. Cuba sekali sekala makan roti canai melayu baru tau penangan macam man kan?
Kalau nak cuba, ini 5 Warung Roti Canai Melayu Untuk Sarapan Di Lembah Klang yang anda boleh pergi.
1. Lan Roti Canai
Di sini, konsep layan diri diamalkan. Pelanggan boleh ambil sendiri roti canai di kaunter dan kuah pilihan sendiri. Walaupun kawasan parkir agak terhad kerana terletak di kawasan flat, pelanggan tetap sanggup datang untuk roti canai di sini. Paling menarik, Lan Roti Canai sudah beroperasi selama 32 tahun!
Lokasi: Medan Selera Dataran Sri Angkasa, Jalan 4/112, Off Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur
2. Warung Pak Hassan
Satu kelebihan kerana terletak di tengah kota raya, roti canai di sini akan dimasak hanya apabila dipesan oleh pelanggan. Makan panas panas dan istimewanya di sini, ia dihidang bersama kuah kari kaki ayam. Hanya 3 jenis roti canai dijual, roti kosong, roti telur dan sardin tetapi sudah cukup untuk menarik ramai pelanggan.
Lokasi: No 45, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur
3. 123 Corner
Terletak di Kampung Sungai Penchala, kedai ini popular dan sering didatangi pelanggan sekitar TTDI. Menurut pemilik, resepi yang digunakan adalah turun temurun dan roti canai di sini lembut di dalam tetapi rangup di luar. Walaupun saiz kecil daripada biasa tetapi harganya berpatutan.
Lokasi: 140B, Jalan Sungai Penchala, Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur
4. Warung Qawwam
Uniknya di sini, kesemua pekerja berpakaian seperti pendekar dan hulubalang istana zaman dulu sesuai dengan konsep mereka ‘Melayu Bertakhta, Berdaulat dan Beraja’. Dibuka pada jam 7 pagi, ramai pelanggan yang sanggup datang dari jauh untuk bersarapan di sini semata-mata untuk melihat suasana pagi yang unik.
Lokasi: Desa Felda Bukit Cherakah, Jalan Meru, Puncak Alam, 42200 Klang
5. Ali Roti Canai
Paling popular di sini adalah roti canai bersama telur mata jadi nampak seperti roti canai ‘banjir’. Walaupun tidak popular seperti kedai yang lain,roti canai di sini mampu menarik ramai pelanggan di sekitar Pantai Dalam, Kerinchi, Bangsar dan Petaling Jaya.
Lokasi: Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur