Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 27 orang pempengaruh media sosial atau influencer yang dipercayai telah mempromosikan aktiviti judi dalam talian atau judi online menerusi platform media sosial.
Memetik laporan Astro AWANI, kesemua pempengaruh media sosial itu dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket perjudian.
Dalam beberapa serbuan di Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Selangor, kesemua influencer yang ditahan itu berusia dari 21 tahun hingga 35 tahun.
Difahamkan, menurut Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sindiket perjudian itu telah memilih influencer yang mempunyai jumlah followers yang ramai di media sosial.
Artikel Berkaitan: “Takkan dorang tak tahu ni semua judi?” – Netizen Kecam Syarikat Judi Selamba Buat Iklan Promosi Sempena Raya
Artikel Berkaitan: “Hanya lip sync lagu” – Pelakon Dedah Hanya Tahu Video Iklan Raya Promosi Judi Di Akhir Penggambaran
Difahamkan juga, mereka mendapat bayaran sekitar RM1,500 hingga RM8,000 untuk mempromosikan aktiviti judi dalam talian itu.
Bayaran yang mereka dapat itu bergantung kepada jumlah pengikut yang setiap mereka ada di platform media sosial.
Untuk siasatan lanjut, telefon bimbit kesemua pempengaruh itu juga turut dirampas oleh pihak polis.
Walaupun mendapat bayaran tinggi, tapi kita harap lepas ni influencers lain di luar sana tidak akan menerima kerja seumpama ini hanya semata-mata demi wang sebab ia salah di sisi undang-undang dan dalam Islam juga, berjudi adalah haram.
Semoga ia jadi pengajaran buat pempengaruh media sosial yang lain.
Sumber: Astro AWANI