Dua pesawat milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terhempas di Laut China Selatan dalam dua kejadian berasingan pada Ahad lalu, namun tiada kematian dilaporkan, menurut kenyataan rasmi di X.
Dalam insiden pertama, sebuah helikopter MH-60R Sea Hawk dilaporkan terhempas di perairan Laut China Selatan ketika sedang menjalankan operasi rutin dari kapal pengangkut pesawat USS Nimitz.
Artikel berkaitan: “Saya bersyahadah banyak kali…” – Dr. Fauziah Kongsi Detik Cemas Ketika Helikopter Israel Serang Kapal
Artikel berkaitan: Perdana Menteri Thailand Batal Lawatan ke Sidang Kemuncak ASEAN Selepas Pemergian Permaisuri Sirikit
South China Sea – On October 26, 2025 at approximately 2:45 p.m. local time, a U.S. Navy MH-60R Sea Hawk helicopter, assigned to the “Battle Cats” of Helicopter Maritime Strike Squadron (HSM) 73 went down in the waters of the South China Sea while conducting routine operations
— U.S. Pacific Fleet (@USPacificFleet) October 26, 2025
Menurut kenyataan tersebut, helikopter itu mengalami masalah sebelum jatuh ke laut. Pasukan penyelamat yang dikerahkan ke lokasi kejadian berjaya menemui ketiga-tiga anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan kesemuanya dilaporkan selamat.
Tidak lama selepas itu, kira-kira setengah jam kemudian, sebuah lagi jet pejuang Boeing F/A-18F Super Hornet turut terhempas ke Laut China Selatan, juga ketika menjalankan operasi rutin dari kapal induk yang sama, USS Nimitz.
Dalam kenyataan susulan, Tentera Laut AS mengesahkan bahawa semua anggota yang terlibat berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil. Mereka juga menegaskan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kedua-dua nahas yang berlaku dalam jarak masa singkat itu.
Menariknya, insiden ini berlaku ketika Presiden AS Donald Trump sedang berada di rantau Asia bagi lawatan rasmi pertamanya dalam penggal kedua pemerintahannya. Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, turut dilaporkan sedang bersiap untuk memulakan siri lawatan diplomatik ke beberapa negara di Asia bagi membincangkan isu keselamatan serantau.
Difahamkan, ini bukan kali pertama insiden melibatkan pesawat Tentera Laut AS berlaku tahun ini. Awal tahun 2025, dua pesawat perang lain yang beroperasi dari kapal pengangkut pesawat USS Harry S. Truman turut terhempas semasa menjalankan operasi di rantau Timur Tengah.
Sumber: X, Harian Metro
